Mandela ketika menjawab soalan di sidang DUN
KOTA KINABALU: Sabah menetapkan setiap projek karbon di negeri ini tidak boleh dilaksanakan tanpa penglibatan dan persetujuan komuniti tempatan khususnya masyarakat anak negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata Seksyen 22 Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 mewajibkan rundingan serta cadangan perkongsian manfaat kepada komuniti sebelum projek diluluskan.
“Ini bermaksud aktiviti karbon yang melibatkan kawasan komuniti anak negeri tidak boleh dilaksanakan secara terasing daripada mempunyai kepentingan di satu-satu projek karbon di negeri ini.
“Peruntukan ini menjadi asas penting untuk memastikan kepentingan komuniti tempatan termasuk komuniti adat diberi perhatian dalam pelaksanaan projek-projek karbon.
“Perincian lanjut mengenai tatacara penglibatan, syarat kelulusan dan mekanisme pelaksanaan akan diperhalusi melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah enakmen ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Sook, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup berhubung jaminan pulangan kepada komuniti yang menjaga aset hutan negeri.
Di samping itu, Mandela memaklumkan kerajaan negeri turut merancang penubuhan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) untuk menyelia penguatkuasaan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
Katanya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) akan merangka dan menggubal peraturan berkaitan sebagai persediaan pengoperasian pusat berkenaan selain mengawal selia keseluruhan aktiviti karbon di negeri ini.
“SCAC akan merangka dan menggubal peraturan-peraturan yang berkaitan bagi tujuan pengoperasian SaCRIC di samping mengawal selia kesemua aktiviti karbon di dalam negeri ini.
“Selain itu, SCAC akan bertindak sebagai badan induk yang bertanggungjawab merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri.
“Dasar ini akan disejajarkan dengan keunikan ekologi berserta landskap sosioekonomi negeri, di samping mengambil kira
pendekatan yang bersesuaian bagi mendepani ketidakpastian impak perubahan iklim terhadap negeri ini,” ujarnya./Penerangan–



