Dr. Chan Fei Sia ketika ditemu bual media.
KOTA KINABALU: Tahap kesedaran masyarakat di Sabah terhadap penyakit buah pinggang masih berada pada tahap membimbangkan walaupun jumlah pesakit yang memerlukan rawatan terus meningkat saban tahun.
Ketua Unit Nefrologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Chan Fei Sia berkata penyakit itu sering digelar ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
“Pesakit biasanya tidak mempunyai simptom sehinggalah penyakit berada pada tahap serius. Sebab itu kesedaran serta saringan awal amat penting,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat hospital berkenaan, baru-baru ini.
Menurut beliau, peningkatan kes pesakit buah pinggang termasuk mereka yang memerlukan rawatan dialisis menuntut tindakan lebih proaktif dalam kalangan masyarakat, khususnya melalui amalan saringan kesihatan secara berkala.
Sehubungan itu, sambutan tahun ini memberi penekanan kepada usaha menggalakkan orang ramai tampil menjalani pemeriksaan awal, terutama golongan berisiko tinggi.
“Pengesanan awal membolehkan pesakit dirujuk ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut seperti ujian darah dan air kencing,” jelasnya.
Dr. Chan berkata saringan terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, masalah kolesterol serta sejarah keluarga menghidap penyakit buah pinggang.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemudahan saringan asas boleh diperoleh di klinik kesihatan kerajaan dengan bayaran serendah RM1.
“Dengan kos minimum, orang ramai boleh mengetahui status kesihatan mereka. Ini langkah penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi lebih serius,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kempen kesedaran berterusan dapat membantu mengesan penyakit pada peringkat awal, sekali gus melambatkan perkembangan penyakit serta mengurangkan keperluan rawatan dialisis pada masa hadapan.
Orang ramai juga disaran mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, mengurangkan pengambilan garam, bersenam secara konsisten serta memastikan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi sentiasa terkawal.



