ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Perkukuh Langkah Tangani Kos Sara Hidup, Kekalkan Subsidi dan Perkasa Sekuriti Makanan: Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama sebahagian Ahli Yang Berhormat semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, pada Isnin.


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat langkah segera dan jangka panjang bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan harga minyak global dan konflik antarabangsa, khususnya di Asia Barat.

Ketua Menteri berkata peningkatan harga minyak global serta gangguan rantaian bekalan tenaga berpotensi memberi kesan berantai kepada ekonomi negeri, termasuk lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi serta menjejaskan kuasa beli rakyat.

“Bagi menangani situasi ini, kerajaan negeri menyokong pendekatan kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan harga bahan api bersubsidi. Ketika ini, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menurut beliau, Sabah turut konsisten menegaskan kepentingan mengekalkan subsidi diesel sebagai langkah kritikal bagi mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan pemindahan beban kos kepada pengguna serta peniaga tempatan.

Dalam usaha memastikan kestabilan bekalan tenaga, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis bagi memantau bekalan bahan api serta merangka langkah mitigasi, termasuk penguatkuasaan bagi membendung penyeludupan dan penyelewengan.

Pada masa sama, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Antaranya Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan kepada 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta.

Inisiatif itu dilaksanakan selari dengan bantuan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memberi manfaat kepada lebih 800,000 penerima di Sabah dengan jumlah peruntukan mencecah RM1.25 bilion.

Selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut menggalakkan amalan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur bagi membantu isi rumah mengurangkan perbelanjaan harian serta meningkatkan daya tahan terhadap ketidaktentuan harga makanan.

Kerajaan juga menggesa penggunaan produk tempatan yang lebih berpatutan, sekali gus menyokong pertumbuhan industri domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Bagi mengurangkan beban kos utiliti, beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk rebat bil elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar eKasih, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan, serta sektor pertanian, akuakultur dan perikanan.

Selain itu, pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) yang menawarkan diskaun 20 peratus kepada pengguna komersial dan industri turut diteruskan.

Dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada sekuriti makanan menerusi peruntukan lebih RM102.86 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, ternakan dan perikanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Lima daerah iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan, termasuk pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pusat Ternakan Bersepadu Keningau dan pembangunan industri tenusu di Sook.

Kerajaan negeri turut menekankan kepentingan kecekapan logistik melalui projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar yang dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kargo serta mengurangkan kos pengangkutan, sekali gus membantu menstabilkan harga barangan.

Dalam masa sama, kerjasama dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diperkukuh termasuk pelaksanaan kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperbaiki struktur logistik dan meningkatkan pengeluaran domestik.

Kerajaan negeri juga komited memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi memastikan kelangsungan sektor itu dalam persekitaran ekonomi mencabar.

Sehubungan itu, rakyat diseru mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah, berbelanja secara bijak serta mengelakkan pembelian panik dan penyalahgunaan subsidi bagi memastikan kestabilan bekalan dalam pasaran terus terjamin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN