Dr Rem menyampai sijil penyertaan kepada peserta kursus.
KOTA MARUDU: Pemimpin wanita di peringkat akar umbi diseru untuk terus memperkukuh ilmu, menguasai maklumat, membina hubungan erat dengan komuniti, mengamalkan sikap rendah diri serta menerapkan nilai empati dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan.
Ucapan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Dr. Ramzah Dambul, yang mewakili Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, semasa Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 di Kota Marudu di sini kelmarin
Menurut beliau, bengkel yang dianjurkan oleh Women Leadership Initiative Committee (WLIC) di bawah IDS itu merupakan platform penting untuk memperkasakan pemimpin wanita, khususnya di peringkat akar umbi, agar lebih bersedia mendepani cabaran dan isu semasa dalam komuniti masing-masing.
“Pemimpin wanita perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepimpinan melalui pelbagai platform pembelajaran seperti kursus, bengkel dan sesi perkongsian ilmu. Namun, ilmu sahaja tidak mencukupi tanpa akhlak dan adab yang baik,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin yang berkesan juga perlu mempunyai keupayaan menilai serta menapis maklumat yang diterima sebelum membuat keputusan atau tindakan bagi memastikan setiap langkah yang diambil berasaskan fakta yang tepat dan sahih.
Azizah turut menekankan kepentingan hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Pemimpin yang sentiasa
mendampingi rakyat, memahami masalah mereka dan menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti akan lebih mudah mendapat kepercayaan serta sokongan masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, sikap rendah diri dan kesederhanaan turut disifatkan sebagai ciri penting yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin.
Beliau mengingatkan bahawa pemimpin yang merendah diri lebih mudah didekati dan dihormati oleh masyarakat berbanding mereka yang bersikap sombong atau mementingkan diri sendiri.
Mengulas mengenai nilai empati, beliau berkata pemimpin perlu berupaya memahami dan merasai pengalaman serta cabaran yang dihadapi rakyat agar penyelesaian yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Empati bukan sekadar simpati, tetapi keupayaan meletakkan diri kita di tempat orang lain untuk memahami situasi yang mereka lalui,” katanya.
Beliau yakin gabungan lima elemen utama iaitu ilmu, penguasaan maklumat, hubungan baik dengan komuniti, sikap rendah diri dan empati akan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa, dihormati serta mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Pada bengkel tersebut, para peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh Pengurus Dal’s Services, Awang Amdan SM Darus yang menyampaikan ceramah bertajuk Modul Penulisan Dokumen Rasmi Laporan, manakala Penyelidik Bersekutu IDS, Zainald Zainuddin berkongsi mengenai Konten Media Sosial untuk Pemimpin Wanita Akar Umbi.
Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 merupakan kesinambungan program pembangunan kepimpinan wanita yang sebelum ini telah diadakan di Kota Kinabalu dan Keningau, dengan objektif memperkukuh kapasiti kepimpinan wanita di seluruh Sabah.



