APA KHABAR …. Joachim, Linda, Yee dan Jonnybone menyantuni masyarakat di Pasar Bandar Ramai, Sandakan.
SANDAKAN: Program walkabout bertemu rakyat bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan parti dan masyarakat setempat, malah menjadi medium berkesan untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Seiring dengan itu, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam bersama kepimpinan parti telah mengadakan program walkabout sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar bandar Sandakan, di sini, hari ini.
Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu dimulakan di Pasar Bandar Ramai, sebelum rombongan meneruskan lawatan ke Pasar Kim Fung bagi menyantuni para peniaga serta orang ramai, sambil menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina.
Turut hadir Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Yee Moh Chai; Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen; Naib Presiden PBS merangkap tuan rumah, Datuk Linda Tsen; Timbalan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jonnybone Kurum merangkap Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah; Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut; Naib-Naib Presiden, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua-Ketua Bahagian PBS serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Induk, Pemuda dan Wanita di kawasan Parlimen Sandakan.
Dalam pada itu, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I, merangkap Menteri Kerja Raya Dan Utiliti Sabah, merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut serta menghargai komitmen dan kehadiran semua ahli parti yang memberikan sokongan padu.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini mencerminkan komitmen PBS untuk terus mendekati rakyat, di samping memperkukuhkan hubungan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum selaras dengan semangat Sabah yang inklusif dan bersatu.
Program walkabout ini turut menjadi platform bagi kepimpinan parti untuk mendengar pandangan serta aspirasi rakyat di peringkat akar umbi, sejajar dengan usaha berterusan PBS memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Rombongan PBS dari beberapa Bahagian turut mengambil peluang beramah mesra dengan Joachim dan kepimpinan tertinggi parti selepas aktiviti walkabout selesai.



