ADVERTISEMENTspot_img

Usaha memperkasa Mahkamah Anak Negeri kian terabai: Azmi

AZMI….ILMAN sebagai tunggak penting keadilan, budaya dan tadbir urus Sabah pada masa depan.


KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai kanan kerajaan negeri menyuarakan rasa kecewa terhadap keadaan semasa Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), yang menurutnya tidak lagi mencerminkan tujuan asal penubuhannya sebagai pusat pembangunan modal insan dan reformasi institusi kehakiman pribumi Sabah.

Azmi Salim, mantan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, berkata beliau berdukacita melihat usaha bertahun-tahun memperkukuh Mahkamah Anak Negeri seakan terhenti tanpa kesinambungan yang jelas.

“Saya dan rakan-rakan pernah bekerja tanpa mengira penat lelah untuk mengangkat martabat institusi Mahkamah Anak Negeri, bukan sekadar di atas kertas, tetapi melalui tindakan nyata di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, semasa beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir, antara tanggungjawab utamanya ialah merancang dan mengurus pembangunan serta pemantapan institusi kehakiman anak negeri Sabah, termasuk hal ehwal masyarakat pribumi.

Beliau berkata penubuhan ILMAN merupakan antara inisiatif paling bermakna ketika itu, dengan visi menjadikan institusi tersebut sebagai pusat melahirkan pegawai Mahkamah Anak Negeri yang terlatih dan memahami adat serta sistem perundangan tempatan.

“Kami pernah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukan semata-mata untuk membina bangunan, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan insan masyarakat Mahkamah Anak Negeri,” katanya.

Namun, ujar beliau, keadaan terkini ILMAN yang tular menerusi satu video baru-baru ini menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kelangsungan institusi berkenaan.

“Jika benar peruntukan telah disalurkan, bagaimana situasi sebegitu boleh berlaku?

“Di mana kesungguhan untuk menyelenggara dan menaik taraf ILMAN yang dibina dengan begitu banyak harapan?” soalnya.

Azmi menegaskan, Mahkamah Anak Negeri bukan sekadar tinggalan tradisi tetapi melambangkan maruah, keadilan dan identiti masyarakat pribumi Sabah.

“Saya bukan marah, tetapi kerana kasih dan keprihatinan. Jika kita sendiri gagal menghargainya, siapa lagi yang akan menghormatinya?” katanya.

Beliau berharap generasi pemimpin baharu akan melihat semula institusi Mahkamah Anak Negeri bukan sebagai warisan lapuk, tetapi sebagai tunggak penting keadilan, budaya dan tadbir urus Sabah pada masa depan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN