Oleh: Cleo Will
RANAU: Adun Paginatan merangkap Ketua Bahagian UPKO Ranau Interim, Datuk Abidin Madingkir menegaskan bahawa sokongan parti di sini masih kukuh meskipun bekas Ketua Bahagian Datuk Dr Ewon Ebin bertindak keluar parti dan mendakwa telah membawa lebih 5,000 penyokongnya untuk turut keluar dari parti itu.
“Sebagai hakikatnya, keanggotaan UPKO di Ranau lebih daripada 16,000 orang. Persoalannya, adakah benar bahawa 5,000 penyokong meninggalkan parti? Tetapi jika itu benar, kami yakin kami masih kuat,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di kediamannya di Kg Pasir Putih pada petang Selasa, beliau berkata pintunya sentiasa terbuka bagi semua orang untuk menyertai semula UPKO walaupun selepas meninggalkan parti itu atas alasan tertentu, tetapi ingin kembali ke parti.
Berkenaan dengan tindakan Ewon dan para penyokong kuatnya, Abidin mengucapkan terima kasih kepada bekas ketua serta penyokong lain, terutamanya atas peranan mereka dalam mendirikan parti dan menjadikannya kuat seperti sekarang.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Ranau UPKO Sualim Gopog berkata keputusan yang dibuat oleh Ewon dan kemnya untuk keluar dari UPKO sebenarnya adalah rahmat yang tersembunyi kerana tindakan mereka telah menghilangkan sebarang perpecahan yang wujud dalam UPKO Ranau sebelum ini.
“Setelah mereka keluar, kita percaya bahawa kini kita boleh menghidupkan semula perpaduan dalam parti dan menjadikannya lebih kuat dan lebih stabil. Sekarang tidak akan ada perpecahan dalaman lagi selepas ini,” katanya.
Terdahulu dalam sidang akhbar itu, pemangku Ketua Pemuda UPKO Ranau, Eldy Yakin Sinit, mengemukakan usul untuk mencadangkan Datuk Abidin Madingkir sebagai Ketua Bahagian UPKO Ranau yang baru, sambil disambut oleh sorakan kira-kira 100 penyokong yang turut hadir di sidang media itu.

“Tengahari tadi, saya dimaklum kan mengenai satu sidang akhbar dimana Datuk Ewon Ebin mengumumkan perletakkan jawatan dalam UPKO sekali gus keluar daripada parti. Beliau mendakwa tindakan itu diikuti oleh lebih 5,000 ahli dan 120 cawangan UPKO terbubar.
“Kami menghormati keputusan Datuk Ewon. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan rakan-rakan lain. Walaubagaimanapun, dalam tinjauan kami, dakwaan bahawa 120 cawangan kini bubar adalah tidak betul; apa yang berlaku ialah memang ada ketua atau ahli cawangan yang serta sama keluar, tetapi itu tidak bermakna cawangan itu sudah bubar,” katanya.
Eldy turut mempersoalkan mengenai pengumuman bahawa kononnya lebih 5,000 ahli juga menginggalkan UPKO, di mana pihaknya dan Ibu Pejabat belum mendapat apa-apa secara bertulis mengenainya; apa pun pastinya perkara tersebut akan diperincikan sama ada sahih ataupun tidak.

“Perletakan jawatan Datuk Ewon daripada menjadi Ketua Bahagian UPKO Ranau sebenarnya bukanlah suatu kejutan berlandaskan tindak tanduk beliau terutama selepas kalah dan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ranau dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.
“Apa yang kami maklum, jawatankuasa disiplin parti telah pun memberikan beliau sepucuk surat baru-baru ini, meminta beliau menjelaskan penglibatan terbuka beliau dalam beberapa acara politik yang dianjurkan oleh pembangkang sejak beberapa waktu kebelakangan ini.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Ewon atas segala jasa bakti beliau terutama sekali ketika menjadi wakil UPKO sebagai menteri penuh untuk beberapa penggal dalam Kabinet Negeri dan Persekutuan,” katanya.
Mengenai alasan yang diberikan oleh Datuk Ewon yang kononnya menjadi asas mereka keluar beramai-ramai, Eldy serta Gerakan Pemuda UPKO Ranau mohon beliau muhasabah diri, tepuk dada tanya selera kerana alasan-alasan yang diberikan itu tidak betul.

“Dalam mesyuarat kami tadi, kami sedar bahawa masih ramai pemimpin termasuk generasi muda yang sudah bersedia meneruskan perjuangan Fokus, Berani dan Ikhlas UPKO.
“Dalam konteks ini, kami telah menyuarakan agar ahli Dewan Undangan Negeri bagi Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menjadi Ketua Bahagian interim bagi UPKO Ranau.
“Kami sebulat suara memilih beliau, yang juga merupakan Naib Presiden UPKO, sebagai peneraju interim UPKO Ranau. Kami sudah pun memberitahu Ibu Pejabat UPKO mengenai hal ini sejurus selepas mesyuarat kami tadi,” katanya.
Dalam ucapan ringkas beliau, Datuk Abidin berterima kasih atas kepercayaan diberikan, dan beliau akan menyusun atur kembali bahagian selain mendapatkan nasihat dan bimbingan Ibu Pejabat untuk meneruskan perjuangan di Ranau.
TAMAT