Kasim (empat kiri) dan rombongan UMS mengambil gambar kenangan bersama Tun Juhar (tengah).
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia untuk memberi pelepasan khas kepada para pelajar untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Canselor, Prof. Datuk Kasim Hj. Mansor berkata, UMS menggalakkan kesemua pelajar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia sekali gus membolehkan kadar pengundian meningkat.
“Walau bagaimanapun, masih belum ada perbincangan berkaitan kemudahan pengangkutan dan logistik pada ketika ini apatah lagi ia memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.
“Namun, kita bersedia memberi ruang atau cuti kepada mereka untuk balik mengundi di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas sesi kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar.
Menurut Kasim, UMS juga sentiasa bersedia memberi pandangan yang bersifat akademik melalui pakar-pakar yang sedia ada berhubung situasi semasa menjelang PRU15.
“Sebagai institusi pengajian tinggi, kita memberi pandangan berdasarkan analisis ilmiah dan berprinsip tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.
Pada kunjungan tersebut, Kasim turut memaklumkan Tun Juhar berkenaan pendaftaran pelajar baharu selain menjemput Tun Juhar hadir ke Majlis Anugerah Penyelidik UMS pada Khamis depan dan Majlis Konvokesyen Kali Ke-24 pada 10 – 12 Disember 2022.