26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

UMS Pindah Ilmu kepada Komuniti Kampung Darau

Dr. Jakaria ketika menyampaikan modul bengkel kepada peserta.

KOTA KINABALU – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dengan kerjasama Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendekati komuniti Kampung Darau, Manggatal dengan menjayakan bengkel Pengurusan Pasar Tamu Miyolon-Ensambiyan, baru-baru ini.

Program pemindahan ilmu dari universiti kepada masyarakat itu merupakan sebahagian daripada usaha UMS untuk membantu meningkatkan keupayaan komuniti setempat.

Menurut Pengarah PKLM, Dr. Jakaria Dasan, usaha tersebut sejajar dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendekati masyarakat menerusi program Universitiy for Society @ Keluarga Malaysia (UNiTY).

“Program pemindahan ilmu ini adalah sebahagian dari usaha UMS mendampingi komuniti berteraskan slogan #UMSbahini yang dilancarkan baru-baru ini oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yun Hin ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor UMS 2022.

“Menerusi slogan ini, UMS akan meningkatkan aktiviti-aktiviti bersama komuniti khususnya melibatkan pemindahan ilmu,” ujar beliau.

Pada bengkel tersebut, seramai 25 penduduk Kampung Darau didedahkan dengan ilmu pengurusan tamu melalui empat modul yang dikongsikan iaitu berkaitan Pengurusan Sumber Manusia dalam Menentukan Kelestarian Perniagaan, Pengurusan Operasi Tamu, Pemasaran Menerusi Media Sosial dan Pengurusan Acara.

Para peserta bergambar kenangan bersama Dekan FPEP, Profesor Datuk Dr. Hj. Kasim (duduk, tengah)

Seramai tiga penceramah turut dijemput bagi menyampaikan modul tersebut yang terdiri daripada para pensyarah FPEP iaitu Dr. Sidah Idris, Dr. Faerozh Madli dan Kamarul Mizal Marzuki.  

Tambah Jakaria, Pasar Tamu Miloyon-Ensambiyan menerima sumbangan dana daripada UMS bagi membantu komuniti tersebut mempromosikan acara itu yang dilihat dapat menjadi salah satu tarikan pelancongan.

“Tradisi yang hampir lenyap ditelan arus kemajuan ini telah dihidupkan kembali oleh Komuniti Kampung Darau pada sambutan Hari Raya tahun 2019 dan diangkat ke perhatian dan sokongan kerajaan negeri pada masa itu. Namun ia terhenti akibat pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, pasar tamu ini akan dihidupkan kembali pada tahun ini. Justeru, pihak UMS telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan lagi kesediaan komuniti ini bagi memastikan acara tersebut kelak dapat dijalankan dengan teratur, menarik dan berlandaskan kepada pematuhan SOP sedia ada,” katanya.

Pasar Tamu Miyolon-Ensambiyan adalah pasar tamu yang akan diadakan pada Hari Raya Kedua yang menyaksikan masyarakat dari etnik Bajau-Samah dan Kadazan-Dusun serta etnik lain yang masih mengamalkan konsep pertukaran barangan pertanian dengan kuih-muih tradisi.

Turut hadir pada bengkel tersebut, Presiden Gabungan Peniaga Kecil dan Penjaja Negeri Sabah, Datuk Hj Noortaip Hj Suhaili; Dekan FPEP, Profesor Datuk Dr. Hj. Kasim Md Mansur dan Ketua Kampung Darau, Jati Ejan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN