ADVERTISEMENTspot_img

Kejohanan Golf KDCA Ranau 2026 Himpun 120 Pemain

KENANGAN…Joachim (berdiri tengah) bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian Kejohanan Golf Penyelaras KDCA Ranau pada Ahad.

RANAU: Kejohanan Golf Penyelaras KDCA Ranau 2026 yang berlangsung selama dua hari di Pasir Putih Golf Club (PPGC), Ranau berjaya menghimpunkan seramai 120 pemain dari sekitar daerah ini dan luar Ranau, sekali gus menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan komuniti menerusi sukan.

Kejohanan yang diadakan pada 20 dan 21 Jun itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Kundasang serta Pengerusi Penyelaras KDCA Ranau.

Turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah Dr Joachim sendiri, Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) merangkap ADUN N.38 Paginatan Datuk Rusdin Riman, Pengerusi JETAMA Water Datuk Abidin Madingkir, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun serta Presiden PPGC Juis Konsuling.

Berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah, Dr Joachim berkata penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja menjadi medan riadah dan sukan sihat, malah berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh hubungan persaudaraan, semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.

Beliau berkata semua ahli golf PPGC dan pemain golf di daerah Ranau dialu-alukan menyertai Kadazandusun Cultural Association (KDCA) Ranau tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang, demi memupuk semangat kekitaan dan memperluas jaringan silaturahim dalam komuniti.

“Penyertaan dalam KDCA bukan sekadar melibatkan aktiviti sosial dan kebudayaan, tetapi turut membuka ruang kepada ahli untuk memperluas jaringan persahabatan, mengukuhkan semangat kekitaan, memupuk perpaduan komuniti serta bersama-sama memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun,” katanya.

Menurut beliau, KDCA berperanan sebagai platform penting untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana harmoni di samping memperkukuh identiti budaya, mempererat hubungan sesama ahli serta mewujudkan kerjasama yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Beliau turut berharap kejohanan berkenaan dapat terus dianjurkan pada masa hadapan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menyemarakkan budaya sukan sihat, malah menjadi medium menyatukan masyarakat melalui semangat kekeluargaan, persahabatan dan persefahaman.

Pada majlis sama, Dr Joachim merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para pemenang serta semua peserta yang menjayakan kejohanan itu, sambil menyifatkan komitmen dan sokongan yang ditunjukkan sebagai cerminan semangat kebersamaan yang perlu terus diperkasakan dalam komuniti.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN