ADVERTISEMENTspot_img

Ewon mahu ahli-ahli UPKO Ranau sokong Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan

RANAU FIRST…Ewon (tengah) besama sebahagian AMT, AJK UPKO Ranau dan para perwakilan bergambar selepas perasmian Mesyuarat Agung TriTahunan UPKO Ranau di sini pada Sabtu.

RANAU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mahu pimpinan dan ahli-ahli UPKO Ranau menyokong semua wakil rakyat kerajaan di daerah ini bagi mengukuhkan perpaduan dan kerjasama sesama dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.

Beliau berkata, budaya saling menghormati dan bekerjasama dengan parti-parti tempatan khususnya parti-parti kerajaan, penting agar pembangunan untuk kepentingan rakyat di daerah ini berjalan lancar.

“Kalau mahu parti kita dihormati oleh rakyat, kalau mahu parti dan bahagian kita dihormati oleh pemimpin serta parti-parti lain, kita juga mesti memulakannya dari pihak kita sendiri.

“Kita mesti berupaya menghormati dan bekerjasama dengan parti-parti lain, terutama parti-parti kerajaan dan wakil-wakil rakyat kerajaan. Inilah yang saya ingin lihat dalam UPKO Ranau, khususnya dalam penggal akan datang selepas selesainya mesyuarat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Ranau di Lohan Rest House, di sini, hari ini.

Ewon berkata, apa juga tuntutan yang ingin dibawa oleh parti memerlukan semangat permuafakatan dan kerjasama semua pihak.

“Bulat manusia kerana muafakat. Oleh itu, kita mesti berupaya bermuafakat dengan dua Timbalan Ketua Menteri yang ada di Ranau serta wakil-wakil rakyat kerajaan yang ada di daerah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kepimpinan baharu UPKO Ranau mengemukakan cadangan berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya di daerah itu.

Katanya, Ranau merupakan kawasan yang sangat luas dan sudah tiba masanya keperluan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen baharu diteliti bagi memastikan perwakilan rakyat lebih berkesan.

“Setiap parti telah diminta mengemukakan cadangan persempadanan baharu. Kawasan Parlimen yang ada hari ini masih berasaskan persempadanan yang dibuat pada tahun 2004.

“Ini bermakna sudah 22 tahun persempadanan tidak dikaji semula. Jika kita mahu melihat UPKO kembali kukuh pada masa hadapan, saya berharap cadangan ini dapat dikemukakan kepada pimpinan parti selepas Kongres nanti,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta pimpinan Majlis Tertinggi GRS atas penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen gabungan itu.

Beliau menyifatkan penyertaan UPKO dalam GRS sebagai satu pencapaian bersejarah yang membuka ruang lebih luas kepada penyatuan parti-parti tempatan Sabah.

“Tidak pernah UPKO berada dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah yang berdaftar secara rasmi. Saya amat bersyukur kerana apa yang saya impikan sejak mula menyertai parti ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya sentiasa berharap parti-parti tempatan Sabah dapat bersatu, dan hari ini UPKO menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Menurut beliau, penyatuan parti-parti tempatan Sabah penting bagi memperkukuh perjuangan berkaitan hak-hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia serta memastikan suara rakyat Sabah lebih kuat pada masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN