Sesi bergambar kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Pengelola, para hakim pertandingan, pegawai PPD Tenom, jemputan khas, guru pengiring dan para peserta selepas majlis penutupan pertandingan.
TENOM: Pertandingan Public Speaking Sekolah Rendah Peringkat Daerah Tenom 2026 berlangsung dengan jayanya di SJK(C) Phui Ying, di sini, hari ini, dengan penyertaan 15 murid yang mewakili sekolah rendah dari seluruh daerah berkenaan.
Program itu dianjurkan bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran komunikasi serta membina keyakinan diri dalam kalangan murid, selaras dengan aspirasi Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).
Majlis berkenaan turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom, Ronald James Ajis; SISC+ Sains PPD Tenom, Alphone Cliff Sudangkit; serta SISC+ Matematik PPD Tenom, Zafizah Zakaria, yang mewakili PPD Tenom.
Penganjuran pertandingan itu turut mendapat sokongan Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK(C) Phui Ying Tenom. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Lo Chau Fook; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Liu Kon Fong; serta Yang Dipertua PIBG, Rainton Kilin.
Kerjasama erat antara pihak sekolah, Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan PPD Tenom dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha melahirkan murid yang berkeyakinan, berketerampilan dan mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Dalam pertandingan itu, para peserta menyampaikan ucapan berdasarkan tema yang ditetapkan, sekali gus memperlihatkan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, pemikiran kreatif dan kritis serta kemahiran penyampaian yang meyakinkan.
Guru Besar SJK(C) Phui Ying Tenom, Poong Chiew Fong, dalam ucapannya berkata kemahiran berucap dalam Bahasa Inggeris di hadapan khalayak merupakan antara kompetensi penting yang perlu dikuasai murid bagi menghadapi cabaran dunia masa kini.
Beliau berkata pertandingan seumpama itu bukan sahaja mampu meningkatkan penguasaan komunikasi dalam Bahasa Inggeris, malah berupaya membentuk kepimpinan, keberanian dan keyakinan diri dalam kalangan murid.
Dalam pertandingan berkenaan, Andrea Della Malvin dari SJK(C) Tsi Sin muncul johan, manakala Alverra Callista Albnis dari SK Lagud dinobatkan sebagai naib johan.
Tempat ketiga dimenangi Aathiyah Malaeka Johan dari SJK(C) Yuk Syn, diikuti Adella Faith Udas dari SJK(C) Chung Hwa di tempat keempat dan Dhiya Nuralysa Mohd Norhisan dari SK Mandalam Lama di tempat kelima.
Penganjuran pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat pemidato muda, malah berjaya memupuk budaya komunikasi positif serta meningkatkan minat murid terhadap penggunaan Bahasa Inggeris.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sesi bergambar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sekolah, PPD Tenom, Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG dalam melahirkan generasi murid yang holistik, berdaya saing dan cemerlang.



