26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMS lancar laman web baharu dan saluran UMS Net

Logo saluran YouTube rasmi Universiti Malaysia Sabah, UMS Net yang dilancarkan bersama pelancaran laman web baharu UMS.

KOTA KINABALU: Laman web rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini tampil dengan reka bentuk baharu, berimej profesional dan korporat serta pengisian yang lebih mantap dan mesra pengguna.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha memperbaharui laman web UMS adalah sebahagian daripada perancangan strategik universiti untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pemegang taruh, dan masyarakat umum.

“Keperluan untuk menaiktaraf laman web rasmi UMS ini menjadi semakin kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19. Pergerakan secara fizikal dikawal untuk mencegah penularan jangkitan wabak ini.

“Kesannya, aktiviti seharian pelajar dan warga akademik tidak seperti kebiasaan dan pergantungan terhadap sistem penyampaian Universiti yang cepat, tepat dan mudah secara atas talian amat diperlukan. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu kehidupan yang saya percaya akan mula sebati dalam diri kita semua pada masa hadapan,” katanya.

Naib Canselor UMS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi UMS Baharu dan saluran Youtube Rasmi “UMS Net” di sini, hari ini.

Sehubungan itu Dr. Taufiq berkata, laman web dan saluran YouTube serta semua platform media sosial merupakan wadah untuk UMS menyalurkan maklumat universiti terutama kepada semua yang mempunyai akses internet sama ada di dalam maupun di luar negara.

“Ciri terkini di dalam laman web rasmi UMS baharu ialah susun atur maklumat di laman utama yang lebih baik dan menarik seperti tayangan klip video mengenai UMS, capaian ke atas maklumat mengenai aktiviti dan kejayaan penyelidikan dan inovasi di UMS.

“Selain itu ia juga memudahkan capaian ke atas maklumat penerbitan jurnal dan buku di UMS, sorotan peristiwa atau berita yang berlaku di UMS serta paparan mengenai kehidupan kampus yang bertujuan berkongsi dan mempromosi keindahan kampus UMS,” jelas Dr Taufiq.

Pengguna boleh melayari laman web baharu UMS di www.ums.edu.my untuk melihat sendiri ciri-ciri terkini paparan antara muka dan maklumat berhubung semua aktiviti universiti.

Sementara itu katanya, saluran rasmi Youtube “UMS official” yang dijenamakan kepada “UMS Net” akan menghimpunkan video hasil kreativiti warga UMS dalam melapor dan mendokumentasi semua aktiviti rasmi UMS di dan luar kampus.

“Selain itu, “UMS Net” juga memaparkan klip video berkaitan pencapaian warga UMS dan pemegang taruh yang disiarkan oleh organisasi media.

“Para pengunjung juga boleh menonton aktiviti dan mendapatkan maklumat mengenai fakulti, institut, pusat dan jabatan yang ada di UMS melalui saluran yang disediakan.”

“Pada masa hadapan, “UMS Net” akan menyediakan satu saluran khusus bagi mendokumentasi dan mempromosi hasil kerja para pelajar UMS,” tambah Dr Taufiq.

Beliau turut mengajak kakitangan dan pelajar UMS serta orang ramai memberi sokongan terhadap media sosial universiti untuk memastikan keberkesanan sistem penyampaian dan keterlihatan UMS.

“Saya dengan rendah diri bagi pihak Pengurusan UMS mempelawa untuk menekan butang subscribe pada “UMS Net” dan butang like pada Facebook rasmi “UMS Official”, katanya.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS turut disiarkan secara langsung di UMS Net dan facebook UMS Official.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN