KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat membantu meningkatkan potensi wakaf di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, UMS yang dilantik menjadi Ejen Kutipan Wakaf Tunai oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dapat membantu mengembangkan lagi wakaf di Sabah khususnya dalam bidang pendidikan.
“Pelantikan UMS akan membantu MUIS untuk terus memperkukuhkan pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf di negeri ini.
“Justeru, mana-mana pihak yang ingin berwakaf dalam aspek pendidikan, kini ia boleh disalurkan kepada UMS, selain MUIS sendiri. Â
“Sudah pasti ini akan memberi manfaat kepada golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan yang lain.Â
“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada MUIS untuk terus memperkukuhkan pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf di negeri ini.
“Ini termasuklah dengan memberikan penekanan terhadap kerjasama dan keterlibatan bersama pelbagai pihak sama ada daripada agensi kerajaan negeri atau Persekutuan, swasta atau korporat yang ingin sama-sama menyumbang kepada usaha ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang tahun 2030,” ujarnya ketika berucap semasa Majlis Bulan Wakaf Peringkat Negeri dan Seminar Wakaf Pendidikan Wakaf Membina Generasi Berilmu di sini, pada Khamis.Â
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif.
Hajiji menambah, usaha itu akan dapat menjadikan wakaf sebagai wadah pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi ummah.Â
Beliau berharap agar industri wakaf dapat terus diperkukuhkan mengikut acuan masa kini serta berlandaskan hukum syarak agar kesannya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. –Penerangan–