SEDIA… Mesyuarat. penganjuran Mr Sabah 2026 yang dipengerusikan Peter (duduk di tengah). Mr Sabah 2026 akan berlangsung di Kadamaian Kota Belud pada Ogos depan.
Oleh Vitalis G.Binkasan
KOTA KINABALU: Kadamaian Kota Belud bakal menjadi medan pertarungan atlet-atlet bina badan sempena Kejohanan Bina Badan Mr Sabah 2026.
Presiden Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA), Clarence Runggi berkata, Kadamaian telah dipilih menjadi tuan rumah kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud pada 22 Ogos 2026.
Sebanyak 19 kategori akan dipertandingkan melibatkan acara bina badan dan fizik.
Clarence berkata, selain bertarung untuk merebut gelaran-gelaran Mr Sabah, kejohanan itu juga akan menjadi landasan bagi memilih atlet mewakili Sabah ke kejohanan Mr Malaysia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kedah pada Oktober.
Sehubungan dengan itu, kejohanan itu dijangka bakal menyajikan pertarungan berprestij di kalangan atlet-atlet terbaik negeri ini.
“Di samping dihidangkan kejohanan berprestij, pemilihan Kadamaian sebagai tuan rumah juga bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan dan ekonomi tempatan Kota Belud,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran orang ramai menyaksikan kejohanan itu.
“SBBA amat menghargai sokongan semua pihak, khususnya Pejabat Daerah Kota Belud, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, agensi-agensi kerajaan, rakan strategik dan penaja yang bersama-sama menjayakan penganjuran Mr Sabah 2026,” katanya lagi.
Clarence berkata, persiapan bagi melaksanakan penganjuran kejohanan itu berjalan lancar terutama dengan komitmen Pejabat Daerah Kota Belud dan SBBA selaku penganjur utama.
Beliau berterima kasih kepada Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton atas kesudian menerima menjadi tuan rumah kejohanan.
Menurutnya, mesyuarat penyelarasan pertama telah diadakan di Pejabat Daerah Kota Belud, dipengerusikan Peter dan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Datuk Ewon Benedick, Cyle Lajimin , pegawai-pehgawai dari KBSK, MSN Sabah, wakil-wakil agensi kerajaan di daerah Kota Belud dan AJK SBBA.
Peter berkata, ia adalah kebanggaan Kota Belud dipilih menjadi tuan rumah dan beliau yakin kejohanan itu bukan sahaja akan menghimpunkan atlet-atlet bina badan dari seluruh sabah tetapi akan menjadi platform untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta produk pelancongan yang terdapat di Kota Belud kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Penganjuran ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti perniagaan, sektor penginapan, makanan dan pelancongan.
Sambil itu, Clarence juga berharap penganjuran Mr Sabah di Kadamaian akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan bina badan, khususnya di kalangan belia di Kota Belud dan daerah-daerah sekitarnya.
Di samping itu, kejohanan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat, menggalakkan penyertaan dalam sukan bina badan serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara negeri yang aktif melahirkan atlet bina badan bertaraf kebangsaan.



