BASHIR (tiga kiri) ketika menyempurnakan Program Merdeka Flag Run 2021 di Wisma Perbadanan Labuan
LABUAN: Umno Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias (gambar) menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Yang di Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh Raja-Raja Melayu yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.
“ Umno Labuan yakin Datuk Seri Ismail Sabri mampu membawa sinar baharu dalam memulihkan dan mengukuhkan semula ekonomi negara serta usaha memerangi pandemik COVID 19 yang masih lagi menjadi ancaman kepada kerajaan dan juga rakyat” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Merdeka Flag Run 2021 anjuran Jabatan Penerangan Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Majlis Sukan Labuan di perkarangan Wisma Perbadanan Labuan, pada Ahad.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan oleh Yang Di Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 20 Ogos lalu bagi menggantikan mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.