Gambar: Datuk Seri Sahidan Kassim
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan berharap pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Sahidan Kassim dapat melaksanakan pendekatan mesra Labuan dalam membantu memperkukuhkan sektor ekonomi dan pembangunan yang masih banyak kekurangan jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata, Walaupun Sahidan merupakan orang baharu bagi Labuan, namun dengan kebolehan dan kematangan beliau dapat membantu memperhebatkan semula ekonomi dan pembangunan Labuan.
“Kami berharap Datuk Seri Sahidan Kassim dapat melihat akan kekurangan Labuan, walaupun beliau baharu bagi Labuan, namun saya yakin dengan kematangan dan kebolehan yang dimiliki beliau dapat mengangkat semula pembangunan Labuan seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya” katanya.
Datuk Bashir Alias
Beliau berkata demikian ketika diminta meggulas mengenai pelantikan Datuk Seri Sahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu.
Dalam perkembangan yang sama, Bashir yang juga Ahli Dewan Negara, yakin Kerajaan baharu mampu mentadbir negara dengan baik ini kerana sebahagian besar jawatan penting adalah dari pemimpin UMNO yang berwibawa dan berpengalaman luas seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Wilayah.
“Saya melihat barisan kabinet baharu yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri mampu mentadbir negara dengan tugas utamanya memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk selain menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan rakyat khususnya dalam menangani dan memerangi pandemik COVID 19 yang masih lagi melanda negara”katanya.
Terdahulu beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif dan Promosi Buah-Buahan Tempatan di Taman Pertanian Kilan.