Jumail@Jumain Latip (Tengah) bersama-sama kepimpinan Umno Bahagian P.183 Beluran.
BELURAN: Umno Bahagian Beluran akan melaksanakan proses pemutihan serta mengemaskini kesemua data keahlian disetiap cawangan parti itu sebagai persiapan menghadapi pilihanraya akan datang.
Ketuanya, Jumail@Jumain Latip berkata, proses pemutihan yang dijalankan merangkumi beberapa peringkat antaranya status keahlian, kajian sikap serta menilai keaktifan setiap cawangan parti untuk diselaraskan semula.
“Proses pemutihan ini penting agar data-data tepat dapat membantu mengenalpasti status keahlian serta keaktifan cawangan-cawangan Umno di Bahagian Beluran selepas pertukaran kepimpinan dalam parti”. Katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Umno Bahagian Beluran yang berlangsung di Dewan Koperasi Matanggar dekat sini pada Ahad.
Selain itu, Jumail turut mengingatkan kepada seluruh jentera parti agar sentiasa bersikap terbuka dalam mendepani sesuatu isu di dalam dan luar kawasan serta tidak membuat sebarang provokasi melampau yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dikalangan masyarakat.
Katanya, walaupun Umno bukan parti mewakili kawasan Beluran,tetapi segala isu yang seharusnya disuarakan demi kepentingan rakyat wajar dibangkitkan tetapi dengan nada yang penuh toleransi.
“Kelantangan kita selaku pemimpin dan ahli Umno kawasan ini wajar berpaksikan kepada segala isu yang ada kepentingan kepada pembangunan kawasan dan rakyat. Kita tidak perlu membuta tuli kearah suara-suara sumbang yang hanya menampakkan kita tidak releven dimata pengundi”. Katanya.
Selain itu,beliau turut yakin selepas proses pemutihan diseluruh cawangan parti itu, mereka dapat menggerakkan segala aktiviti dengan lancar dan menjadi nadi kepada seluruh masyarakat Beluran untuk menyuarakan isu-isu tertentu.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan kenduri doa selamat sempena pembebasan Presiden dan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah daripada tuduhan di Mahkamah baru-baru ini.
Antara yang hadir termasuklah Benedict Asmat, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Yusuf Latif Mustapha, Naib Ketua Umno Bahagian,
Patimah Sukur, Ketua Wanita Bahagian dan Mazley Mantiak, Naib Ketua Pemuda Bahagian serta AJK Umno Bahagian yang lain.