Hajiji diiringi Nizam beramah mesra dengan atlet SUKMA dan PARA SUKMA pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah di Sabah SICC
Oleh: Vitalis G Bingkasan
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARA SUKMA Sabah berjuang habis-habisan mencapai sasaran pada SUKMA Ke-22 dan PARA SUKMA 2026 Selangor.
Sabah sasar 40 pingat emas SUKMA Ke-22 Selangor 2026 yang akan berlangsung pada 15-24 Ogos dan 66 emas PARA SUKMA yang akan berlangsung pada 5-11 September.
Hajiji yakin Sabah mampu mencapai sasaran itu dan ia mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan serta sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah ke dua temasya sukan itu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Menerima bendera ialah Ketua Kontinjen Delegasi Sabah ke sukan itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.
Pada SUKMA kali ini, Sabah meletakkan sandaran kepada kontinjen yang diperkuatkan 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan.
Sabah akan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
PARA SUKMA pula, Sabah akan menghantar kontinjen dianggotai 271 orang iaitu 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia.
Beliau berharap, Sabah akan kembali merangkul gelaran juara keseluruhan dengan mengotakan sasaran pingat emas PARA SUKMA.
“Saya menaruh harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA berjaya membawa pulang pingat”, katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet berjuang sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengharumkan nama Sabah sepanjang temasya berlangsung.
Pada masa sama, Hajiji menegaskan disiplin mesti menjadi kekuatan utama setiap atlet kerana bakat tanpa disiplin tidak akan membawa seseorang atlet ke tahap tertinggi.
Beliau turut mengingatkan supaya setiap isu dalam kontinjen ditangani dengan segera, adil dan profesional agar fokus pasukan tidak terganggu, selain meminta atlet menjaga komunikasi dan tingkah laku sepanjang berada di Selangor.
Beliau juga menasihatkan atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah kerana penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan kelayakan bertanding, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina.
Selain itu, Ketua Menteri juga meminta semua pegawai mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan atlet dengan memastikan urusan perjalanan, penginapan, rawatan, pemulihan serta keperluan pertandingan diurus dengan teliti, di samping terus memperkukuhkan semangat setia kawan dalam kalangan anggota kontinjen.
Bagi menghargai pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga sepanjang tempoh persediaan, Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang dinaikkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk insentif pingat emas yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada atlet negeri.
“Melangkahlah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat untuk berjuang habis-habisan, memburu setiap peluang kemenangan serta membuktikan Sabah mampu berdiri sebaris dengan negeri negeri terbaik dalam arena sukan negara,” katanya.



