ADVERTISEMENTspot_img

Mahkamah Tinggi Sabah Bawa Perkhidmatan Kehakiman Ke Pedalaman Ranau

OKK Dominic Ganie

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Mahkamah Tinggi Sabah akan menganjurkan Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau selama dua hari bermula esok di Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar, bagi memperluaskan akses perkhidmatan kehakiman dan kerajaan kepada masyarakat luar bandar.

Program pada 7 dan 8 Ogos itu bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan perundangan, dokumentasi dan khidmat kerajaan tanpa perlu berulang-alik ke bandar.

Inisiatif itu turut melibatkan penyertaan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampung dari seluruh daerah Ranau sebagai rakan strategik dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis perasmian dijadual disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, pada jam 2 petang, 7 Ogos.

Selepas majlis perasmian, program akan diteruskan dengan taklimat khas kepada Ketua-Ketua Adat Daerah Ranau mengenai pelaksanaan Mahkamah Bergerak sebelum berakhir pada jam 5 petang.

Pada hari kedua, kaunter perkhidmatan akan dibuka seawal jam 7 pagi bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, termasuk pendengaran kes Sijil Lahir Daftar Lewat (BE) yang dijadual bermula pada jam 8.30 pagi.

Pelaksanaan pendengaran kes itu dijangka membantu penduduk yang berdepan isu dokumentasi dengan membolehkan urusan diselesaikan secara lebih cepat dan mudah tanpa perlu hadir ke pusat bandar.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program itu turut dijadual menerima kunjungan Ketua Hakim Negara bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak bagi meninjau pelaksanaannya, melawat kaunter agensi yang mengambil bahagian, menandatangani buku pelawat, menyempurnakan simbolik penanaman pokok kelapa pandan serta menghadiri sesi bergambar.

Mahkamah Anak Negeri Daerah Ranau berharap program berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ketua Adat, Ketua Kampung dan penduduk setempat sebagai platform mendapatkan khidmat nasihat, menyelesaikan urusan dokumentasi serta mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan mesra rakyat.

Tajuk: Mahkamah Tinggi Sabah Bawa Perkhidmatan Kehakiman Ke Pedalaman Ranau

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN