Bashir (tengah) menyaksikan majlis MoU antara Syarikat Sobena Sdn. Bhd yang diwakili Pengurus Kilang Sobena, Than Thean Ping dengan Jabatan Tenaga Manusia yang diwakili oleh Mat Setia (dua dari kiri)
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia berupaya menjadi ‘games changer’ atau medium terbaik dalam membantu sasaran kerajaan meningkatkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
Malahan katanya, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 turut mengiktiraf TVET sebagai salah satu pemboleh daya yang dapat menyumbang kearah pembentukan negara membangun yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
“Tidak dapat dinafikan tenaga kerja mahir adalah aset penting yang dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Institusi TVET perlu menjadi pemacu bagi melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang berkualiti dan seterusnya berupaya memenuhi keperluan industri” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) antara Kementrian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Manusia dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan dengan empat buah syarikat swasta di Dewan Kuliah Utama ILP Labuan di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Manusia, Mat Setia Mohd Raji dan Pengarah Instituts Latihan Perindustrian (ILP) Labuan, Haji Zainudin Haji Ahmad.
Terdahulu, Mat Setia ketika berucap pada majlis itu berkata, Jabatan Tenaga Manusia memberikan tumpuan kepada pembangunan kapasiti organsasi khususnya kepakaran tenaga pengajar dan keupayaan untuk melaksanakan latihan yang berkesan berteraskan pembangunan teknologi 4IR dan digital.
Katanya, semua usaha ini akan diperkukuhkan lagi dengan perancangan yang teliti bersama sama pelbagai pihak khususnya industry melalui kerjasama strategik.
“Bagi meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan TVET, semua intitusi kami digalakkan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak meliputi keseluruhan aspek pengurusan latihan dengan matlamat meningkatkan kecekapan dan peluang graduan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian” katanya.
Empat buah syarikat yang menandatangani persefahaman dan kerjasama itu ialah Syarikat Sobena Offshore Incorporated Sdn. Bhd, Prihoda Malaysia Sdn. Bhd, Priston Shipyard Sdn. Bhd dan Pristine Era Sdn. Bhd. abuan.