Pengerusi Eksekutif Transonic Jet Sdn Bhd, Ahmad Sufiani Johari (dua dari kiri) bersalaman dengan Pengerusi My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd, Mohamed Yunus Mohamed Ishak (lima dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak.
KUALA LUMPUR: Transonic Jet Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan MY Jet Xpress Airlines Sdn Bhd melalui perjanjian penggabungan dan pemerolehan transformatif untuk terus memacu kemajuan dalam industri penerbangan kargo.
Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Ahmad Sufiani Johari berkata, usaha itu selaras dengan matlamat industri penerbangan yang lebih luas, memfokuskan pada kemampanan, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan.
Katanya, penggabungan dan pengambilalihan itu adalah bukti usaha kerjasama sekali gus komitmen bersama terhadap pertumbuhan dan kemajuan sektor penerbangan.
“Perjanjian komprehensif bernilai RM50 juta itu merangkumi perolehan 90 peratus saham syarikat termasuk beberapa lesen penting seperti Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Organisasi Pengurusan Kelayakan Udara Berterusan (CAMO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Penggabungan strategik ini adalah bukti kepada visi untuk memacu syarikat ke perkhidmatan pengangkutan udara, memperkukuh piagam udara persendirian sedia ada dan perkhidmatan penerbangan umrah dan haji,” katanya pada majlis menandatangani MoU yang diadakan di sini pada Selasa.
Terdahulu dua syarikat berkenaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Transonic Jet Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Rossahizam Mat Sakin dan Ahmad Sufiani bersama Pengarah Banco LQID (USA), Mohamed Yunus Mohamed serta Pengerusi dan Pengarah My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd, Mohamed Yunus Mohamed Ishak yang disaksikan Mohd Jabbarullah Abd Kadir.
Ahmad Sufiani berkata, penggabungan itu membuka jalan untuk meningkatkan keupayaan operasi dan portfolio perkhidmatan yang lebih luas sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam perkhidmatan udara persendirian dan perkhidmatan penerbangan berkaitan haji.
“Langkah strategik ini bukan saja sejajar dengan trend industri tetapi juga memastikan kelebihan daya saing untuk entiti yang baru digabungkan.
“Matlamat kami adalah mahu membangunkan industri aero negara dan ada perancangan (dalam tempoh masa) 10 tahun dengan suku keempat tahun ini kita mahu menjadi ‘one stop center’ (pusat sehenti) yang mempunyai (perkhidmatan untuk) penumpang, kargo, umrah serta haji,” katanya.
Katanya, dalam usaha meningkatkan industri penerbangan negara, pihaknya memperuntukkan RM2 bilion untuk pelan pelaburan empat fasa yang komprehensif yang mana komitmen itu sejajar matlamat Kerajaan Melaka untuk membangunkan dan meningkatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
“Pelan pelaburan diperuntukkan untuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka menggariskan penambahbaikan infrastruktur serantau secara berperingkat termasuk memanjangkan landasan lapangan terbang itu,” katanya.
.