Rosmadi mengambil gambar kenangan bersama para media yang hadir
KOTA KINABALU: Lebih 100 pengamal media dan wakil agensi kerajaan menyertai Perlawanan Boling Persahabatan ‘Strike With Media’ anjuran Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah.
Program yang berlangsung di MyBowl, 1 Borneo Hypermall pada Sabtu itu menghimpunkan pengamal media tempatan bersama pegawai kerajaan dalam satu platform interaksi yang lebih terbuka.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, menyifatkan penganjuran program seperti ini sebagai pendekatan strategik yang perlu diperluas.
“Program seperti ini bukan sekadar riadah, tetapi platform penting untuk memperkukuh hubungan kerja dan membina kesefahaman yang lebih mendalam antara agensi kerajaan dan pengamal media.
“Apabila hubungan ini kukuh, penyampaian maklumat kepada rakyat akan menjadi lebih tersusun, jelas dan berimpak,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai turut mengambil peluang beramah mesra bersama pengamal media serta menyertai pertandingan boling sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Berbeza dengan pendekatan formal, program berkonsep santai ini dilihat lebih efektif dalam merapatkan jurang komunikasi, membina kepercayaan serta memperkukuh persefahaman terhadap peranan masing-masing dalam landskap komunikasi semasa.
Selain menjadi medan jaringan profesional, aktiviti tersebut turut memberi nilai tambah dari aspek kesejahteraan apabila menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media yang sering berdepan tekanan tugasan./PENERANGAN–



