ADVERTISEMENTspot_img

Mayat Lelaki Ditemui Terapung Dalam Longkang di Bundusan

Anggota forensik polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian selepas penemuan mayat seorang lelaki


PENAMPANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam longkang berhampiran sebuah restoran di Jalan Bundusan, di sini, petang tadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan awal serta mengawal keadaan.


“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi membantu siasatan lanjut.


Menurutnya, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti berkaitan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan terperinci.


Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian, manakala identiti serta waris mangsa masih dalam proses pengesanan.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.


Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Polis Diraja Malaysia menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berintegriti demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN