KOTA KINABALU: Tourism Malaysia Sabah dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) menerbitkan sebuah buku bagi mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti di kawasan desa melibatkan lapan daerah di Negeri Di Bawah Bayu.
Penerbitan edisi khas Buku Direktori Pelancongan Luar Bandar Sabah itu memaparkan kepelbagaian produk pelancongan di setiap daerah di Tambunan, Keningau, Nabawan, Kuala Penyu, Papar, Kota Belud, Beluran dan Telupid.
Presiden FeRTAS, Encik Walter Kandayon berkata, penerbitan buku tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk menyokong usaha pemulihan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sekali gus menyemarakkan pelancongan domestik.
“Produk-produk pelancongan luar bandar kini semakin mendapat tempat dalam kalangan para pelancong yang berminat untuk mempelajari budaya, tradisi, makanan, seni kraftangan serta cara hidup masyarakat setempat,” kata Walter yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA).

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Mohd Faharuddin Hatmin berkata, Buku Direktori Pelancongan Luar Bandar boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR di laman Facebook Tourism Malaysia Sabah atau menghubungi Pejabat Penyeliaan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Sabah di talian 088-211732 / 088-413359.
“Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.malaysia.travel untuk mendapatkan tawaran pakej pelancongan dari seluruh Malaysia serta mengikuti laman Tourism Malaysia Sabah di Facebook bagi mengetahui sebarang perkembangan terkini berkaitan aktiviti promosi di Sabah,” katanya.