KENANGAN…Ustaz Suffian (tengah) merakam gambar bersama penerima anugerah Tokoh Guru 2022, Majus Munsing ( kedua kanan), penerima Tokoh Kepimpinan, Halidah Ariffin (kiri sekali) sambil diperhatikan Foo dan yang lain
RANAU: Dalam memastikan kemenjadian murid, pihak sekolah hendaklah meningkatkan pelibatan rakan strategik agar sama-sama memacu peningkatan prestasi sekolah.
Pengarah Pendidikan Sabah, Tah Nia binti Haji Jaman, berkata Ibu bapa, komuniti setempat, agensi bukan kerajaan (NGO), badan korporat, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan perlu menggembleng tenaga, idea, dana dan masa agar kualiti pendidikan di negeri ini dapat diperkasa setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Katanya, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan agar pencapaian sekolah bandar dan luar bandar dapat dirapatkan jurangnya, begitu juga jurang sosioekonomi dan gender.
“Peranan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) perlu diperkasa untuk sama-sama terlibat dalam program pemajuan sekolah sama ada dari segi infrastruktur, kewangan, persekitaran, pengetahuan dan khidmat bantu lain yang relevan dengan keperluan sekolah,” katanya.
“Pemimpin sekolah, guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat perlu bergerak sederap bagi memastikan kualiti pendidikan di negeri melonjak dan anak didik kita sama-sama dapat menuai hasil yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerad Ranau di Dewan Masyarakat, di sini, pagi tadi. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Penolong Pengarah menjalankan tugas Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidik Negeri Sabah, Ustaz Suffian bin Jasimani@Amran.
Menurutnya Tah Nia, permuafakatan sesuai dengan slogan Jabatan Pendidikan Sabah “Sepakat, Sabah HEBAT” kerana sudah pasti kesepaduan idea dan tenaga daripada pelbagai pihak dapat merealisi kehebatan anak-anak watan di negeri ini.
Dalam pada itu, Tah Nia turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah khas yang telah disampaikan sebelum ini dan anugerah Tokoh Kepimpinan dan Tokoh Guru peringkat daerah Ranau tahun 2022.
Katanya, sudah pasti perkhidmatan yang cemerlang, kejayaan melakukan pelbagai inovasi, daya kepimpinan yang berkualiti sepanjang berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan merupakan kayu ukur dalam pemberian anugerah tersebut.
“Semoga guru-guru yang masih berkhidmat menjadikan tokoh-tokoh ini sebagai idola dan inspirasi dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.
“Saya percaya mereka ini merupakan pendidik yang sejati dan akan terus menyumbang bakti kepada dunia pendidikan dan kemasyarakatan selagi hayat dikandung badan,” tambahnya.
Pada majlis itu, bekas Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing, telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru, manakala mantan Guru Besar Sk.Kilimu, Halidah Ariffin, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Guru tahun 2022.