JOHAN… Bashir menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Karaoke Glamour sambil diperhatikan Harun (tiga dari kiri) dan Amit (dua dari kanan)
LABUAN: Program Semarak Tanjung Aru 2022 yang dianjurkan oleh Jawatakuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan kerjasama Pantaran Biskita, Kelab Belia Tanjung Aru (Kataru) disambut meriah.
Program yang berlangsung di Balai Raya Tanjung Aru baru-baru ini turut mendapat kerjasama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Aru.
Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias yang kemudianya menyempurnakan simbolik penyampaian bakul makanan kepada penduduk kampung yang layak menerima bantuan tersebut.
Selain itu, beliau turut berkesempatan menyaksikan pelbagai akiviti yang dijalan termasuk menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Karaoke Glamour dan cabutan bertuah yang menjadi acara kemuncak program tersebut.
Bashir yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur termasuk penduduk kampung yang sama sama menyokong dan menjayakan program tersebut.
Katanya, program tersebut juga membuktikan penduduk kampung Tanjung Aru mengutamakan perpaduan selain menyokong dan merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
“Saya melihat program tersebut selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang bukan sahaja untuk membantu memulihkan ekonomi negara, tetapi juga memupuk semangat masyarakat untuk hidup dalam suasana harmoni” katanya.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti yang berjaya menarik perhatian penduduk kampung tanpa mengira had umur.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu ialah Pertandingan Pakaian Beragam, Sukaneka, Basikal Berhias dan Pertandingan Karaoke Glamour.
Hadir sama sepanjang program itu, Ketua Kampung Tanjung Aru, Haji Harun Damit, Pengerusi Pantaran Biskita, Amit Hamdani, Pengerusi Kelab Belia dan Beliawanis Tanjung Aru (Kataru), Mohd Anas Syazwan Suwito dan Pengerusi KRT Tanjung Aru, Kifli Awang Anak.
TAHNIAH… Ketua Kampung Layang-Layangan, Lamat Tahir menerima sijil penghargaan Bebas Jenayah kategori A daripada Idris.