Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah jelas menunjukkan tindakan rayuan tetap berlaku walaupun disebut sebagai “merayu alasan penghakiman”.
Beliau berkata, prinsip asas undang-undang jelas, “an appeal is an appeal”, dan oleh itu, kenyataan bahawa tiada rayuan tetapi akan merayu alasan penghakiman tetap membawa maksud rayuan.
Menurut Ewon, pendirian beliau dan UPKO kekal bahawa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Federal List dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara dasar, manakala hak 40 peratus hasil Sabah pula merupakan hak undang-undang yang istimewa dan eksklusif bagi negeri ini.
“Rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak 40 peratus yang boleh dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, keusahawanan dan pelbagai inisiatif pembangunan lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ewon menjelaskan bahawa sepanjang hampir tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan, beliau konsisten menyuarakan pendirian yang sama setiap kali isu hak 40 peratus dibincangkan, namun respons yang diterima tidak berubah.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai janggal untuk meneruskan perkhidmatannya dalam Kabinet, lebih-lebih lagi selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, mengeluarkan penghakiman bertulis yang merekodkan pendirian AGC dalam prosiding semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS).
“Selepas Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan, AGC mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera’ namun pada masa sama menyebut ‘akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman’. Ini jelas bercanggah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan dan kenyataan AGC itu membenarkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan yang dibuat atas dasar prinsip dan pendirian tegas terhadap hak negeri Sabah.
“Saya meletakkan jawatan atas sebab prinsip. Saya juga menjangka Notis Rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan berdasarkan alasan yang telah dinyatakan oleh AGC,” katanya.
Ewon menjelaskan bahawa asas alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Sekiranya Mahkamah Rayuan memutuskan sebahagian dapatan itu salah, keputusan keseluruhan berkaitan hak 40 peratus Sabah boleh dianggap terjejas.
Walaupun AGC menyatakan menghormati prinsip pemberian khas berdasarkan hak 40 peratus, beliau bimbang sekiranya Mahkamah Rayuan membatalkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi, keputusan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah juga akan terbatal.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO semalam menyimpulkan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami denyutan nadi, jiwa dan wawasan masa depan negeri ini, berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963,” jelasnya.
Ewon turut menyeru agar rakyat Sabah memberi mandat kepada parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui kerajaan negeri bagi memperjuangkan agenda Sabah First secara berkesan.
“Saya mengimpikan sebuah kerajaan Sabah yang benar-benar dianggotai hanya oleh parti-parti tempatan seperti ketika awal kemerdekaan pada tahun 1963,” tambahnya.



