PEMENANG… Sabin (belakang-lima dari kiri) dan Jainisah (tiga dari kanan) bergambar bersama pemenang pertandingan mewarna dan pertandingan Kaligrafi Cina.
KOTA KINABALU: Bermula 1 Ogos ini semua premis perniagaan di Bandaraya Kota Kinabalu tidak lagi menyediakan beg plastik konvensional kepada pembeli.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata kempen ‘Tiada Beg Plastik’ tersebut adalah inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai usaha memelihara alam sekitar agar lebih kondusif dan sejahtera.
“Setiap tahun, berjuta-juta tan plastik dibuang ke lautan dan tempat pembuangan sampah dan menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada ekosistem dan hidupan liar dunia.
“Sebagai menyahut salah satu daripada 17 matlamat dalam Sustainable Development Goal yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), kerajaan negeri menerusi DBKK memperkenalkan kempen ini sebagai langkah awal dalam mengajak masyarakat untuk bersama menangani isu plastik dan perubahan iklim,” katanya.
Menurut Sabin, pada peringkat awal pengenalan kempen yang diperkenalkan DBKK, kurang mendapat sambutan dan perhatian daripada masyarakat serta para peniaga.
“Kita bermula dengan kempen pengurangan penggunaan beg plastik oleh premis-premis perniagaan secara sukarela dan seterusnya memperkenalkan larangan penyediaan beg plastik oleh peniaga kepada pembeli secara berperingkat pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin setiap minggu.
“Kini kempen ini telah memasuki fasa akhir dan kita dapati ianya telah mendapat sambutan yang positif daripada semua pihak hasil daripada sesi penerangan serta pendidikan kepada umum melalui media sosial, media perdana tempatan selain pendekatan bersemuka pegawai DBKK bersama para peniaga dan juga persatuan-persatuan yang terlibat,” katanya.
Jelasnya, usaha menjaga alam sekitar bukan hanya terletak pada tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan semata-mata, ia merupakan usaha dan kesedaran semua pihak.
“Dengan berganding bahu dan berusaha secara kolektif, kita boleh mencapai perubahan ini dengan lebih signifikan dan diharapkan menjelang Ogos nanti semua pihak terutama para peniaga, masyarakat, pelancong dalam dan luar negeri dapat bersedia dan bersama menjayakan kempen ini” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program JIWA Komuniti Madani Peringkat Parlimen Kota Kinabalu anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada Sabtu.
Pada majlis tersebut beliau turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam apa jua program kerajaan sebagai usaha melestarikan komuniti agar mempunyai maklumat yang telus, sahih dan bermanfaat.
Katanya inisiatif JaPen dalam mengumpulkan Komuniti Madani dalam satu program amat bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi menyuburkan semangat perpaduan, kerjasama kaum dan budaya dalam komuniti selain sebagai wadah bagi menangani isu-isu berita palsu.
“Saya dimaklumkan pelbagai aktiviti telah dijalankan sebagai pengisian program pada kali ini dan antara yang menarik adalah tayangan khas Lintas Langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke 17 serta pertandingan kaligrafi Cina dan mewarna kanak-kanak serta reruai jualan dan pameran,” katanya.
Hadir sama Pengarah JaPen Sabah Jainisah Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPen Sabah, Peter Tong Ah Pin, Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu Nur Azean Makbul dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Likas, Alex Tan.- Penerangan–