Prof.Datuk Dr. Kasim (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Penghargaan Khas kepada KESUWA disaksikan Datuk James Ratib (empat dari kiri) dan Prof. Dr Ramlan (kiri sekali)
LABUAN: Kelab Sukarelawan Siswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (KESUWA UMSKAL) menempa sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Anugerah Penghargaan Khas (Badan Pelajar) sempena Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-27 Tahun 2026.
Majlis berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu telah dirasmikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, pada Sabtu.
Sementara majlis penyampaian anugerah disampaikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMS, Profesor Dr. Raman Noordin.
Penyelaras Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL, Noreffaizza Jali berkata, ia hasil usaha kolektif semua ahli kelab yang sentiasa aktif dan berdedikasi.
Tambahnya, pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada ahli kelab untuk terus menyumbang kepada pembangunan pelajar yang holistik dan berkemahiran.
Sementara itu, Presiden Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL Sesi 2024/2025, Luke Alex, menyifatkan pencapaian itu satu kejayaan bermakna yang mencerminkan kesungguhan dan kerjasama dalam kalangan ahli kelab.
“Anugerah ini sekaligus mengukuhkan lagi peranan UMSKAL sebagai platform utama dalam memupuk semangat sukarelawan serta kepimpinan dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah,”katanya.



