Mahanum (duduk tengah) bersama para peserta dan pemenang kejohansn E-sukan.
LABUAN: Maxim Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap pembangunan belia dan inovasi digital dengan menjadi penaja utama Kejohanan E-sukan Sekolah Menengah di Labuan.
Kejohanan yang menghimpunkan pelajar daripada 10 buah sekolah menengah itu mempertandingkan tiga kategori permainan popular iaitu PUBG Mobile, Mobile Legends dan eFootball, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk mempamerkan kemahiran, semangat kesukanan serta kebolehan bekerja dalam pasukan ketika bersaing dengan pelajar lain dari seluruh Labuan.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan, Mahanum Fauzi ketika berucap pada majlis itu berkata kepentingan E-sukan yang semakin berkembang dan telah merubah daripada sekadar aktiviti rekreasi kepada sukan kompetitif yang diiktiraf di peringkat global.
Katanya, Kejohanan E-sukan Sekolah Menengah yang diadakan berperanan sebagai platform penting untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat muda, di samping menggalakkan pelajar untuk mengejar minat mereka secara bertanggungjawab.
Sementara itu, Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, Maxim komited untuk menyokong program-program yang membantu melahirkan bakat pelajar yang sedia ada, selain menggalakkan keseimbangan yang sihat antara pencapaian akademik dan pembangunan kokurikulum.
“Sebagai penaja utama, Maxim Malaysia telah menyumbang hadiah kepada para pemenang, trofi kejohanan, pingat, serta kod promosi khas Maxim untuk para peserta, sekali gus memeriahkan lagi pengalaman pertandingan dan menggalakkan penyertaan yang lebih aktif dalam aktiviti E-sukan” katanya.
Mohd Hazwan berharap kejohanan ini dapat memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda untuk meneroka potensi mereka dan mempersiapkan diri bagi merebut peluang dalam dunia yang semakin digital.
Sementara itu, SMK Mutiara berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat tahun kedua berturut-turut.



