ADVERTISEMENTspot_img

JAPEN Labuan anjur Bengkel Kreatif Digital

Ruddy (duduk tengah) bersama dengan sebahagian peserta yang menyertai bengkel tersebut

LABUAN:Jabatan Penerangan (JAPEN) Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Bengkel Kreatif Digital Kecerdesan Buatan (AI).

Bengkel yang disasarkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti MADANI itu telah diadakan di Dewan Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan.

Bengkel tersebut antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran praktikal dalam bidang kreatif digital kepada para peserta.

Selain itu,ia juga bertujuan untuk melahirkan komuniti digital yang kreatif dan berdaya saing.

Para peserta bengkel turut didedahkan dengan pelbagai aplikasi digital dan AI yang praktikal termasuk ‘Canva’, ‘CapCut’ untuk suntingan video, ‘Gemini’, serta platform penulisan blog dan ‘Facebook.

Ceramah berkaitan bengkel tersebut disampaikan oleh Naib Presiden Majlis Belia Labuan, Yusrie Mohd Daud.

Sementara itu, majlis penutupan bengkel berkenaan disempurnakan oleh Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Labuan, Ruddyansjah Mahtar Hams.

Ruddy ketika berucap pada majlis itu berkata masyarakat khususnya JPKK dan Komuniti MADANI perlu memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan potensi diri dan memudahkan urusan kerja seharian.

Katanya, masyarakat tidak perlu bimbang kehilangan pekerjaan kerana AI tidak mempunyai perasaan untuk menandingi keupayaan manusia sepenuhnya.

“Sebab itu, kita semua kena ambil peluang guna teknologi ini bagi tingkatkan kemahiran diri dan banyak urusan kerja harian jadi jauh lebih mudah dan cepat.

“Kemudahan AI seperti Gemini juga boleh dimanfaatkan secara santai oleh ibu bapa untuk membantu pembelajaran anak-anak di rumah dengan hanya memasukkan arahan (prompt) yang tepat,”katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan ilmu AI untuk menilai kesahihan sesuatu mesej yang diterima khasnya melalui dalam talian.

“Tolong berhati-hati kalau kita terima apa-apa mesej atau poster dalam ‘WhatsApp’ atau media sosial terutamanya tentang bantuan kerajaan yang nampak meragukan dengan sentiasa membuat semakan supaya kita tidak mudah ditipu dengan taktik ‘scammer’,”jelasnya lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN