Robert (kedua dari kiri) mengiringi Jeffrey semasa melawat hakisan tebing di Kampung Minansut.
KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik berkata, tiada aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan di ulu sungai Bayayo seperti yang tular video di media sosial.
Beliau menafikan dengan sekeras-keras video yang tular itu kerana tiada sebarang aktiviti penerokaan di ulu sungai tersebut.
Katanya, hutan itu dalam kawasan Taman-Taman Sabah dan di pantau oleh kakitangan taman dari masa ke semasa.
“Jadi macam aktiviti penerokaan hutan atau pembalakan berlaku di kawasan itu yang dijaga rapi oleh pengurusan Taman-Taman Sabah” jelasnya.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, beliau juga telah dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Keningau, Jabatan Perhutanan Daerah Keningau dan Taman-Taman Sabah bahawa tiada aktiviti pembalakan di ulu sungai Bayayo.
Menurut Robert lagi, pemimpin-pemimpin masyarakat di Kampung Bunga Raya dan Banduan yang berhampiran dengan kawasan hutan itu telah memaklumkan kepada beliau bahawa tiada aktiviti pembalakan seperti video yang tular di media sosial.
“Kejadian yang sebenarnya adalah runtuhan tanah di kawasan hutan yang meluncur ke ulu sungai Bayayo dan itu yang menyebabkan kekeruhan sungai yang amat tinggi. Itu yang dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kepada saya” kata Robert.
Menjawab soalan lain Robert berkata, video itu tidak tahu dari mana, tetapi tidak menolak itu mungkin ia berniat fitnah kepada kerajaan.
Robert berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan membuat lawatan kerja meninjau kesan hakisan tebing di Kampung Gasabon, Kampung Lingggawon dan Kampung Minansut di kawasan Bingkor.