Gambar Mohd Rafi (), Susi Ramilyana ( barisan depan lima dari kanan) bersama pasukan The Cops
LABUAN: Pasukan The Cops dari Wilayah Persekutuan Labuan muncul johan Kejohanan Bola Jaring Piala Datuk Mohd Rafi (DMR) 2026 yang berlangsung di Dewan Utama UMSKAL di sini, pada, Ahad.
Dengan kemenangan itu, pasukan The Cops Labuan menerima sebuah piala dan wang tunai RM1,500.
Pasukan Jolt juga dari Labuan terpaksa berpuas hati bergelar naib johan untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.
Tempat ketiga bersama dimenangi oleh pasukan Vick dari Labuan dan pasukan Netcheck dari Papar Sabah.
Sementara itu, pasukan The Cops turut merangkul tiga hadiah individu terbaik masing- masing bagi anugerah Pemain Terbaik Stephenie Jane Henry, Penjaring Terbanyak Siti Nor Sherina Elias dan Penghadang Terbaik Siti Farina Abdul Shukor.
Manakala Noraina Muslimin dari pasukan Jolts menerima hadiah Penyerang Terbaik.
Kejohanan yang julung kalinya diadakan anjuran Bola Jaring Team DMR dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Labuan telah disertai sebanyak 16 pasukan membabitkam 9 pasukan dari Labuan dan 7 pasukan dari Sabah
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Penaung Kejohanan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, kejohanan tetsebut bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan dan silaturahim antara pemain dan komuniti.
Beliau turut menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai ruang untuk menggalakkan penglibatan wanita dan golongan muda dalam aktiviti sukan, selain melahirkan masyarakat yang sihat dan berdaya saing.
Pada majlis itu, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan mengumumkan Piala DMR akan diteruskan pada tahun depan dengan pengenalan kategori baharu, iaitu Kejohanan Bola Jaring Terbuka Piala DMR 2027 bagi kategori lelaki.
Hadir sama Pengarah Kejohanan Bola Jaring Piala DMR, Susi Ramilyana Maideen, Ketua Penyelaras merangkap wakil Persatuan Bola Jaring Wilayah Persekutuan Labuan Nabihah Rozy, Pengerusi Teknikal Rosenani Fareha, serta Ketua Pengadil Wan Muhammad Adidi bersama barisan pengadil dan urus setia.
Kejohanan berkonsepkan “Sukan Untuk Semua” itu turut menjadi wadah memperluas penyertaan dalam aktiviti sukan, selain mengeratkan jaringan persahabatan antara peserta dari Labuan dan Sabah.



