TERKINI: Sriwijaya Air dipercayai terhempas ke dalam laut 


JAKARTA – Satu dentuman kuat dan jeritan kuat meminta tolong dipercayai daripada pesawat Sriwijaya Air SJY-182 didakwa didengari oleh nelayan yang berada di kawasan Kepulauan Seribu.

Ketua Daerah Kepulauan Seribu , Junaedi memberitahu bahawa dia menerima maklumat daripada penduduk temptan berdekatan kawasan terakhir pesawat dijejaki.

Menurut Junaedi, ada nelayan yang melihat pesawat itu terhempas dan mendengar penumpang menjerit meminta tolong.

Nelayan itu juga mendakwa melihat api membakar pesawat yang terhempas.

“Orang kampung mendapat laporan daripada nelayan yang mengatakan mereka mendengar orang menjerit meminta tolong serta ada kebakaran yang berlaku di tengah laut,” kata Junaedi kepada TribunJakarta.com, sebentar tadi.

BACA >> Pesawat Sriwijaya Air SJY-182 hilang selepas terputus hubungan
Junaedi menambah pesawat itu dilaporkan jatuh di sekitar perairan Pulau Male.

Menurut Junaedi, ketika ini pihaknya juga telah mengerahkan pihak berkuasa tempatan untuk memeriksa maklumat tersebut.

“Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) juga sudah mengunjungi lokasi tersebut tetapi belum ada laporan lanjut yang diterima,” kata Junaedi.

Terdahulu, sebuah penerbangan Sriwijaya Air yang dalam penerbangan di laluan Jakarta pontianak dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan empat minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Soekarno-Hatta, Cengkareng menuju ke Pontianak. – Agensi