ADVERTISEMENTspot_img

Tenom dipilih sebagai tuan rumah Master Borneo 2023

Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan (dua dari kanan) bersama Clarence (kanan) semasa sidang media itu.

TENOM: Daerah Tenom dipilih sebagai tuan rumah kejohanan bina badan dan ‘physique’ (Master Borneo) kali ke 17 2023.

Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Masood berkata, sebagai ketua pentadbir di sini beliau menyambut baik dan mengalu-alukan pemilihan daerah ini sebagai tuan rumah.

Katanya, Pejabat Daerah Tenom sentiasa memberi kerjasama dengan mana-mana persatuan yang berhasrat untuk menjadikan daerah ini sebagai tempat penganjuran mana-mana program.

“Penganjuran kejohanan ini menjadi nilai tambah kehadiran orang dari luar Sabah seperti Labuan, Brunei, Kalimantan Indonesia untuk datang beramai-ramai di daerah Tenom bagi menghadiri dan menyaksikan pertandingan Master Borneo 2023”

Katanya, kejohanan yang berskala besar di kepulauan Borneo ini termasuk Labuan dan Brunei Darusallam sudah tentu melibatkan kehadiran orang ramai di kalangan peminat kejohanan bina badan dan ‘physique’ sama ada dari luar negara dalam negeri.

“Selain dapat menyaksikan persembahan dan aksi para peserta kejohanan yang julung-julung kali diadakan di daerah ini, ia juga menyumbang kepada sumber pendapatan para peniaga di daerah termasuk pengusaha hotel dan homestay di sekitar pekan ini” katanya dalam sidang media penganjuran kejohanan Master Borneo kali ke 17 2023 yang berlangsung pada 15 Disember (Jumaat) ini di Daerah Tenom.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, daerah Tenom bersedia menjadi tuan rumah dalam mana-mana kejohanan atau program yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan atau persatuan sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan peringkat antara bangsa.

Sementara itu Persatuan Bina Badan Negeri Sabah berharap acara sukan bina badan dapat disenaraikan dalam acara Sukan Sabah (SAGA) akan datang.

Menurut Penasihat Kehormat persatuan Bina Badan Negeri Sabah Clarence Runggi, sekiranya acara ini dapat disenaraikan pihak berwajib sudah tentunya lebih ramai anak Sabah di pelusuk daerah di negeri ini dapat diketengahkan untuk acara ini.

“Memang hala tuju dan harapan kita supaya sukan bina badan ini dimasukkan dalam SAGA, inilah hasrat kita” katanya

Walau bagaimanapun katanya, Persatuan Bina Badan akan berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan pandangan dan memohon restu atau persetujuan kerana persatuan ini adalah dibawah naungan Kementetian tersebut.

Katanya, sukan bina badan hanya dipertandingkan di sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Dalam sidang media ini, Clarence memaklumkan setakat ini seramai 80 perserta telah berdaftar terdiri para perserta sekitar negeri ini termasuk Sarawak, Brunei Darrulsalam dan juga Kalimantan Indonesia akan menyertai kejohanan berkenaan dan dijangka akan lebih banyak lagi mendaftar sebelum tarikh kejohanan berlangsung.

Katanya, sejumlah RM50,000.00 diperuntukkan pihak persatuan bagi keseluruhan kos hadiah pada kejohanan ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN