Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan PUSAKA Paliton menyampaikan sumbangan PUSAKA berupa kereta surung kepada Ugai (ketiga dari kanan), turut kelihatan Sinawat (tengah).
SIPITANG: Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom (PUSAKA) mengadakan Jelajah Kebun Dapur bagi memberi motivasi kepada ahli persatuan untuk menceburi bidang pertanian, penternakan dan pengeluaran makanan sebagai sumber pendapatan keluarga.
Program itu turut menyokong inisiatif kebun dapur yang diilhamkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Jamawi Jaafar, dalam menggalakkan masyarakat memanfaatkan sumber tanah dan ruang yang ada untuk menghasilkan makanan.
Presiden PUSAKA, Sinawat @ Welly Antakah berkata, jelajah berkenaan merupakan salah satu pengisian sempena mesyuarat bulanan persatuan yang diadakan di Kampung Damai, Sipitang Sabtu lepas.
Katanya, menerusi program itu, PUSAKA berpeluang meninjau sendiri usaha ahli yang telah memulakan aktiviti pertanian dan penternakan walaupun belum menerima dana daripada kerajaan.
Antara pengusaha yang dijejaki ialah Monica Damong yang mengusahakan ternakan ayam daging dan Ugai Tamang yang mengusahakan pertanian bersepadu melibatkan tanaman limau kapas, betik, kopi serta durian Musang King.
Menurut Sinawat, kedua-dua pengusaha berkenaan memulakan usaha masing-masing menggunakan modal sendiri sebagai langkah awal mengembangkan aktiviti ekonomi mereka.
Monica berkata, beliau berhasrat mengembangkan lagi ternakan ayam daging yang diusahakan dan berharap pihak kerajaan dapat memberikan bantuan bagi menyokong usaha berkenaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ugai berharap mendapat bimbingan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian bagi membantu meningkatkan lagi pengurusan serta pengeluaran projek pertanian bersepadu yang diusahakannya.
Turut dijejaki ialah pengusaha kafe Richard Padan yang mengusahakan DO’ LEO Kitchen, sebagai antara perusahaan makanan yang dibangunkan oleh usahawan tempatan.
Sinawat berkata, PUSAKA akan memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan supaya ahli yang bergiat dalam bidang pertanian serta perusahaan berkaitan pengeluaran makanan mendapat bantuan dan sokongan sewajarnya.
“Jelajah ini bukan sahaja untuk melihat perkembangan usaha ahli, tetapi juga memberi semangat kepada mereka supaya terus berusaha dan mengembangkan bidang yang diceburi,” katanya.
Dalam program itu, PUSAKA turut menyampaikan buah tangan kepada para pengusaha berupa peralatan yang bersesuaian dengan bidang yang diceburi sebagai tanda sokongan dan galakan kepada usaha mereka.
Turut menyertai jelajah berkenaan ialah barisan Ahli Jawatankuasa PUSAKA serta Pengerusi-Pengerusi Biro persatuan.



