ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan Yasin turun padang menugal padi bukit bersama penduduk Manikulau

KENANGAN… Sebahagian penduduk Kampung Manikulau Kawiyan bergambar kenangan bersama Datuk Jonathan Yasin (tengah) selepas menyertai program gotong-royong menugal padi bukit dalam suasana penuh kemesraan dan kegembiraan.

Oleh: Salwah Aramat &editor

RANAU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin turun padang menyertai Program Menanam (Menugal) Padi Bukit bersama masyarakat Kampung Manikulau Kawiyan, di sini, baru-baru ini.

Kehadiran beliau dalam aktiviti pertanian tradisional itu mencerminkan pendekatan mendekati masyarakat dengan turut bersama-sama penduduk dalam kegiatan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan serta budaya komuniti luar bandar.

Jonathan meluangkan masa beramah mesra dan bertukar pandangan dengan penduduk dalam suasana santai, selain mendengar secara langsung pandangan serta keperluan masyarakat setempat.

Aktiviti menugal padi bukit berlangsung dalam semangat gotong-royong apabila penduduk berganding bahu melaksanakan kerja penanaman mengikut amalan tradisi yang masih diamalkan sehingga kini.

Menurut Pejabat Parlimen Ranau, interaksi secara langsung di lapangan memberi peluang kepada wakil rakyat memahami dengan lebih dekat kehidupan masyarakat, khususnya penduduk luar bandar yang masih bergantung kepada sektor pertanian sebagai antara sumber kehidupan.

Program berkenaan turut mengetengahkan kepentingan memelihara amalan pertanian tradisional sebagai sebahagian daripada warisan serta identiti masyarakat kampung.

Warga Kampung Manikulau Kawiyan turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Jonathan meluangkan masa bersama mereka, yang disifatkan dapat mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN