25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Teknologi Dron mampu merevolusikan pekebun kecil

Abidin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli koperasi berkenaan


RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir menggesa para pekebun kecil Sawit untuk mengamalkan Teknologi Pertanian Pintar (Teknologi Dron) bagi menambah-baik pengurusan serta operasi ladang kelapa sawit mereka.


Beliau yang juga merupakan ADUN Paginatan berkata, ini bagi menangani isu utama yang dihadapi pekebun kecil sawit iaitu produktiviti rendah.


“Produktiviti rendah, saiz ladang tidak ekonomikal, tanah yang kurang sesuai (curam dan berbukit bukau), lokasi ladang yang jauh di pedalaman, jaringan jalan raya terhad dan dalam keadaan tidak baik adalah antara kekangan utama yang dihadapi pekebun kecil sawit di negeri ini.


“Teknologi Dron dilihat mampu mengoptimumkan penggunaan racun dan baja dan seterusnya membantu kelestarian alam sekitar.


“Ini akan mengurangkan kos operasi, meningkatkan hasil tanaman dan akan menambah pendapatan,” kata beliau.


Menurut Abidin, kos untuk mengadaptasi teknologi ini mungkin tinggi, namun dengan mengatur strategi perkongsian terutama dalam koperasi, ianya mudah dicapai dan manfaatnya dapat dikongsi bersama.


“Untuk makluman, satu unit dron dapat menyembur kawasan seluas lebih 12 hektar sehari, berbanding dengan 4 hektar sehari oleh seorang tenaga manusia, iaitu 3 kali lebih produktif.


“Pada masa yang sama, penyemburan racun menggunakan dron dapat mengurangkan jumlah racun sehingga 80 peratus, serta mengurangkan penggunaan air sebanyak 82 peratus,” kata beliau.


Ini, tambah beliau, juga selaras dengan saranan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika acara Pameran dan Seminar Pemindahan Teknologi Sabah telah menyatakan bahawa Kerajaan Sabah akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan dalam sektor kelapa sawit di Sabah.


Abidin berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Ranau Berhad Kali Ke-2 di Kg Kinapulidan Ranau pada Sabtu.


Beliau memberitahu bahawa keluasan sawit seluruh negeri Sabah adalah 1.5 juta hektar dan seluas 17,883 hektar terdapat di daerah Ranau di mana 8,704 hektar diusahakan oleh pekebun kecil.


“Bilangan pekebun kecil seluruh negeri Sabah adalah 32,566 yang mengusahakan kawasan seluas 210,707 hektar (Data 2020).


“Berdasarkan jumlah tersebut, purata keluasan ladang pekebun kecil kelapa sawit di Sabah ialah 6.5 hektar.
“Menurut definisi Kerajaan Malaysia, pekebun kecil kelapa sawit ialah pekebun yang mengusahakan ladang kelapa sawit dengan keluasan di bawah 40.46 hektar (100 ekar),” kata beliau.


Sementara itu, Abidin menjelaskan bahawa menurut Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), peratus keluasan yang telah dipersijilkan setakat ini adalah pada tahap yang masih sangat rendah iaitu pada tahap 11.6 peratus.


Ini, kata beliau, akan menjejaskan daya saing pekebun kecil dan berkemungkinan tidak dapat menjual buah sawit.


“Merujuk kepada Roundtable on Sustainable Palm Oil-Certified Sustainable Palm Oil (RSPO-CSPO) yang dilaksanakan melalui inisiatif Jurisdictional Certified Sustainable Palm Oil (JCSPO) Sabah, peningkatan perlu dibuat bagi menembusi pasaran-pasaran sensitive seperti Eropah.


“Justeru, pihak koperasi perlu maklumkan terhadap ketetapan-ketetapan ini dan sentiasa memberi maklumat kepada semua ahli koperasi.


“Pihak koperasi juga mesti sentiasa prihatin dan memantau kesihatan tanaman sawit terutamanya Serangan Penyakit yang susah dikawal dan membawa kerugian besar,” kata beliau.


Abidin juga mengesyorkan pihak koperasi agar melaksanakan sesi pembelajaran untuk update ahli-ahli mereka berkaitan masalah-masalah penyakit yang mungkin berlaku.


“Perlu diingat bahawa Daerah Ranau terkenal dengan muka bumi yang berbukit-bukau dan gunung-ganang. Kawasan-kawasan ini amat ‘fragile’ dan pembangunan perlu dilaksanakan dengan mengamalkan syor-syor dari pihak-pihak berwajib.


“Tanah runtuh boleh berlaku bila-bila masa dan hal ini akan menjejaskan persekitaran terutama sumber air kita,” kata beliau.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN