Anggota bomba melakukan pemadaman api
RANAU: Sebuah lori treler membawa muatan tong gas terbakar sebanyak 10 peratus di kilometer (km) 1, Jalan Ranau-Sandakan, dekat tapak Tamu Mingguan, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (KBBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata kebakaran itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandu atau melibatkan mangsa.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.23 pagi, sebelum mengerahkan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bersama sebuah jentera fire rescue tander (FRT) ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati tayar belakang lori treler yang membawa muatan tong gas jenis Gas Petroleum Cecair (LPG) sedang terbakar.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu dari jentera FRT,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Menurut Ridwan, api berjaya dipadam sepenuhnya pukul 9.31 pagi. Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK), Mastin Suli tu tamat pada jam 9.40 pagi.



