ADVERTISEMENTspot_img

Tambunan Tuan Rumah Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSS Sabah Kali Ke-13

Haison


TAMBUNAN – Daerah Tambunan terus mengukir sejarah dalam penganjuran sukan peringkat negeri apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas (KOPK) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sabah Kali Ke-13, yang berlangsung selama tiga hari dengan penuh meriah.

Kejohanan itu melibatkan penyertaan seramai 736 atlet murid berkeperluan khas dari seluruh Sabah, diiringi 444 pegawai dan guru pengiring mewakili 24 daerah, menjadikannya antara kejohanan terbesar dalam sejarah penganjuran KOPK peringkat negeri.

Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Dr Haison Jahudin, menyifatkan pemilihan Tambunan sebagai tuan rumah sebagai satu penghormatan besar dan bukti bahawa daerah luar bandar juga mampu menganjurkan acara berskala besar melibatkan murid pendidikan khas.

“KOPK bukan sekadar medan pertandingan, malah platform mencungkil bakat dan mengiktiraf potensi luar biasa dalam kalangan murid-murid pendidikan khas,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan kejohanan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepada Tambunan sebagai tuan rumah, selain menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran penganjuran, termasuk warga sekolah, sukarelawan, RELA, petugas perubatan, pengadil, pasukan keselamatan serta komuniti setempat.

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Tambunan turut diberikan penghargaan khas atas peranan penting mereka sebagai penyelaras utama kejohanan, termasuk kerjasama erat pelajar pengiring dan masyarakat tempatan dalam menjayakan acara tersebut.

Selain sebagai pentas pertandingan, kejohanan ini turut menjadi medan penghargaan kepada kejayaan luar biasa anak-anak istimewa Tambunan yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Felicia Mikat, bekas pelajar SKPK Pekan Tuaran dan SMK Badin, yang pernah merangkul tiga pingat emas dalam acara 100 meter, 200 meter dan lompat jauh pada Kejohanan Sukan Sekolah Peringkat Kebangsaan dari 2013 hingga 2017.

Felicia turut membawa pulang tiga pingat gangsa dalam temasya Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur serta mencatat kejayaan berganda dengan tiga emas dalam acara sama pada temasya Para SUKMA 2016 dan 2018.

Turut menonjol ialah Marell Michael, pelajar PPKI SMK Nambayan dari Kampung Timbou, yang telah mengumpul tiga pingat emas dalam acara 4x100m, masing-masing sejak 2022, dengan pencapaian rekod baharu setiap tahun. Beliau turut meraih tiga perak dan tiga gangsa dalam acara 100m, 200m dan 4x400m.

Mengulas kejayaan dua atlet berkenaan, Dr Haison berkata ia merupakan simbol ketabahan dan komitmen luar biasa yang wajar dijadikan inspirasi.

“Kami percaya bahawa setiap anak istimewa mempunyai potensi besar yang boleh digilap. Semangat, disiplin serta keberanian mereka adalah bukti bahawa kecemerlangan adalah milik semua,” katanya.

Kejohanan ini turut memperkukuh semangat perpaduan, nilai kesukanan dan keprihatinan masyarakat terhadap pembangunan murid berkeperluan khas.

“Kekurangan bukan penghalang. Kecemerlangan adalah hak semua,” tegas Dr Haison mengakhiri ucapan sempena kejohanan tersebut.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN