Dr Fary Akmal Osman
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Taman Muhibbah yang terletak di Jalan Kesuma di pusat bandar akan berubah wajah apabila usaha untuk menaik taraf taman tersebut sedang giat dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, taman yang berusia lebih dua dekat itu bakal menjadi satu daripada kawasan rekreasi dan hiburan utama di Labuan dengan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan mesra pengunjung.
“Taman itu kini sedang dinaik taraf dan kerja-kerja pembaikan kemudahan di taman itu juga sedang dilaksanakan, di bawah projek pembangunan pengindahan perbandaran melibatkan kos sebanyak RM200,000.
“Apabila projek ini selesai dijangka pada Jun tahun ini, Taman Muhibbah akan berwajah baharu menjadi kawasan yang lebih selesa untuk menarik lebih ramai pengunjung (melakukan aktiviti rekreasi),” katanya kepada media di sini kelmarin.
Beliau berkata taman itu yang sudah menjadi lokasi transit ratusan burung marpati atau lebih dikenali oleh warga tempatan ‘burung acang’ yang juga akan menjadi satu lagi tarikan pelancong dan perniagaan di sekitar kawasan itu sekaligus akan memberi manfaat hasil daripada peningkatan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Perbadanan Labuan komited untuk memulihkan semula dan memberi imej baharu kepada Taman Muhibbah, satu-satunya taman yang terletak di pusat bandar ini…skop perluasan projek ini akan melalui kajian jurutera dan kami yakin dapat meneruskan rancangan untuk taman ini” katanya.