Oleh: Dr. Jurry Foo
Pensyarah kanan. Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu Sabah. (Rakan strategik Kolumnis BDB)
PATRIOTISME adalah semangat yang menjadi fokus setiap kali negara meraikan bulan kemerdekaan dan hari Malaysia. Namun hakikatnya semangat cintakan negara ini tidak hanya perlu ada pada saat hadirnya bulan Ogos dan September setiap tahun, tetapi haruslah ada dalam jiwa rakyat Malaysia pada setiap hari, setiap saat dan pada setiap hembusan nafas.
Menzahirkan keprihatinan kepada negara, selaras dengan slogan ‘Malaysia Prihatin’ pada tahun ini tidak terhad kepada mengibarkan bendera Malaysia, mengucapkan ‘Saya sayang Malaysia’, berpakaian dengan asas warna bendera Malaysia mahupun aktiviti yang menunjukkan kasih sayang kita kepada tanahair tercinta, tetapi siapapun kita atas kapasiti kita dan aktiviti harian kita keprihatinan kepada negara boleh dizahirkan dengan pelbagai cara bukan khusus pada hari bersejarah sahaja.
TABIK (Taman Budaya dan Inovasi Kundasang) yang merupakan projek bimbingan Universiti Malaysia Saban (UMS) dan dilaksanakan oleh kumpulan Suara Buluh Perindu menzahirkan rasa cinta dan prihatin kepada negara melalui rutin harian mereka, iaitu dengan memulihara warisan budaya agar tidak hilang ditelan zaman dan terus dapat dinikmati dan dihargai oleh semua pihak. Inilah yang dikatakan menzahirkan keprihatinan atas kapasiti sendiri, iaitu atas kapasiti mereka sebagai pejuang warisan budaya dan alam sekitar melalui aktiviti berkaitan muzik berasaskan bambu.
Konsep asas pemuliharaan berasaskan komuniti adalah termasuk tindakan berkaitan perlindungan (protection), pemulihan (reviving), pemeliharaan (conservation) dan pengurusan (management) yang dilakukan oleh komuniti mengikut kerangka pengurusan tempatan dan matlamat sesuatu pelaksanaan pemuliharaan.

Dalam pemahaman umum, pemuliharaan sering dikaitkan dengan tindakan ‘menjaga’ dan ini juga tidak salah kerana menjaga adalah tindakan manusia yang lahir daripada perasaan ‘sayang’ dan tanggapan bahawa sesuatu yang dijaga itu sebagai penting. Jadi apa kaitannya dengan ‘Malaysia Prihatin’ dan semangat patriotisme?
Lazimnya manusia akan ‘menjaga’ sesuatu yang dianggapnya penting. Bagi kes TABIK, satu daripada matlamat memulihara warisan budaya dan alam sekitar adalah kerana rasa sayang kepada muzik bambu yang diwarisi turun temurun dan menjadi sebahagian daripada identiti mereka sebagai komuniti berketurunan Dusun di negara ini. Manakala dalam mempertahankan seni budaya muzik bambu ini, memulihara habitat bambu adalah penting untuk memastikan sumber bahan mentah dapat dibekalkan secara berterusan.
Perlindungan terhadap karya warisan budaya bambu, teknik penghasilan muzik bambu, pengendalian muzik dan dokumentasi adalah usaha berterusan yang dilakukan di TABIK. Pemulihan terhadap persepsi muzik bambu juga diberikan fokus melalui banyak cara termasuk inovasi. Mengapa inovasi penting? Agar muzik bambu terus relevan dan dapat dinikmati oleh semua generasi kini dan masa hadapan. Pemeliharaan budaya tradisi yang diwarisi terus dipelihara meskipun wujudnya inovasi kerana komuniti di TABIK faham budaya asal yang menjadi akar umbi tidak patut dipinggirkan. Manakala dalam memastikan kelestarian warisan budaya muzik bambu, pengurusan yang efektif diamalkan dengan melibatkan pelbagai peringkat generasi dalam aspek pengurusan TABIK tanpa mengira gender dan latar belakang. Mereka juga mendengar suara dan pendapat semua ahli dan sentiasa mengekalkan nilai kerjasama dan saling menghormati dalam mencapai matlamat mereka. Ini kerana mereka sedar bahawa tiada pendapat yang patut dibelakangkan.
Usaha memulihara warisan budaya ini tidak terhenti di tapak TABIK sahaja, tetapi diperluaskan kepada umum melalui penyampaian maklumat bercetak dan penyampaian dalam talian. Di samping itu penglitaban Suara Buluh Perindu dalam persembahan, aktiviti berkaitan akademik dan kokurikulum serta kemasyarakatan menjadi sumbangan mereka dalam mengekalkan identiti bangsa. Mereka juga menjalankan latihan kepada masyarakat umum (atas permintaan) bagi tujuan memperluaskan pengetahuan dan kemahiran muzik bambu kepada umum, di samping menjadi medium memupuk kesedaran terhadap kecintaan terhadap budaya warisan. Penyertaan ahli ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai acara dan program sehingga mendapat pengiktirafan dunia adalah satu daripada usaha menyumbang kepada negara melalui kapasiti mereka. Semoga usaha komuniti di TABIK ini memberi sedikit sebanyak inspirasi kepada kita untuk menzahirkan semangat patriotisme mengikut kapasiti kita sendiri. ‘Kita adalah MALAYSIA’. Selamat menyambut Hari Malaysia.