Gambar: Abidin bersama sebahagian penduduk Kampung Gaur
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Paginatan, YB Datuk Abidin Madingkir mengajak semua penduduk kampung di seluruh daerah ini mensyukuri apa saja bantuan yang diberikan oleh kerajaan walaupun sedikit.
Berucap semasa melakukan lawatan penduduk di Kampung Gaur baru-baru ini, Abidin berkata penduduk kampung perlu memahami, peruntukan setiap tahun di semua kawasan khususnya DUN N38 Paginatan sememangnya tidak mencukupi apatah lagi kerajaan pada masa sekarang masih dalam proses memulihkan ekonomi akibat terjejas oleh pandemik.
Katanya di DUN Paginatan sahaja sebanyak 83 buah kampung perlu diberikan perhatian. Jumlah ini agak besar sedangkan peruntukan setiap tahun masih tidak dapat menampung semua permohonan kampung.
“Kita terpaksa mengambil pendekatan membahagi-bahagikan sedikit-sedikit peruntukan yang ada dengan menilai permohonan-permohonan yang benar-benar penting dan mendesak. Bersyukurlah, walaupun semua permohonan tidak dapat dipenuhi, sekurang-kurangnya semua kampung dapat menikmati peruntukan yang telah diagih-agihkan sama rata,” katanya.
Abidin turut mengingatkan agar penduduk kampung terus membuat permohonan dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang penting.
“Apabila ada permohonan-permohonan kampung yang melibatkan kos yang lebih tinggi di luar kemampuan peruntukkan DUN, kita akan usahakan untuk dipanjangkan terus ke pihak-pihak tertentu seperti ke Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam ucapannya, Abidin telah memaklumkan tiga permohonan kampung yang telah diluluskan iaitu pembinaan Gelanggang Sepak Takraw, pembinaan intake air di kawasan tadahan dan pembinaan sistem perparitan kampung.