ADVERTISEMENTspot_img

Sumbangan RM3,000 Perkasa Kejohanan Mimpaagat Borneo International 7s 2026 di Penampang

SUMBANGAN…Petrus (kiri) ketika menyampaikan sumbangan

PENAMPANG: Kejohanan bola sepak veteran antarabangsa, Mimpaagat Borneo International 7s 2026, menerima suntikan semangat apabila sumbangan berjumlah RM3,000 disalurkan bagi menyokong penganjurannya yang berlangsung di Stadium Penampang bermula esok.

Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Ketua Bahagian PGRS Moyog, Petrus C. Mojuntin, mewakili Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Mandela Bongkos Malakun, kepada Presiden Kelab Mimpaagat, Aloysius Wong.

Majlis penyerahan turut disaksikan Penasihat Kelab Mimpaagat, Robert Stidi, bersama barisan ahli jawatankuasa penganjur.

Dana berkenaan bertujuan menyokong penganjuran kejohanan berprestij itu yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Mei, menghimpunkan pasukan-pasukan veteran dari dalam dan luar negara.

Edisi kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit dengan penyertaan pasukan antarabangsa dari Brunei, Singapura dan Australia, selain penyertaan pasukan-pasukan dari Semenanjung Malaysia.

Kejohanan tersebut memberi tumpuan kepada kategori veteran melibatkan umur 40-an, 50-an dan 60-an, sekali gus menyediakan platform kompetitif kepada pemain berpengalaman untuk terus aktif dalam sukan bola sepak.

Menurut Petrus, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja memartabatkan bola sepak tempatan, malah memperkukuh kedudukan Penampang sebagai destinasi penganjuran acara sukan yang berpotensi menarik penyertaan global.

“Usaha seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pihak penganjur berharap kejohanan berkenaan dapat dijadikan acara tahunan ikonik di Penampang, di samping memperluas jaringan persahabatan sukan di peringkat antarabangsa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN