GAMBAR Kenangan Jahid dan Hamizi bersama para pemimpin masyarakat dan pihak penganjur program diketuai Pengerusi KPDJJ, Junaidy Azamain.
TUARAN: Sumbangan petugas barisan hadapan yang komited membantu menjayakan usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 terus dihargai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim, berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dalam membantu mengekang penularan wabak COVID-19.
“Terima kasih kepada semua Frontliners diketuai PDRM kerana bantuan dan sumbangan tidak kira masa, suasana, dan cuaca,”.
“Kita sendiri mengetahui pengorbanan mereka yang sanggup berpanas berhujan di mana-mana Sekatan Jalan Raya, atau kawasan-kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemimpin Prihatin Bersama Frontliner Covid-19 di IbuPejabat Polis Daerah Tuaran, sini hari ini.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging,Penaung KPDJJ, Datin Malianah Ugau, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.
Katanya, sumbangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) begitu signifikan dalam memastikan wabak tersebut dapat dikawal, terutamanya di negeri Sabah.
“Sumbangan hari ini adalah bagi mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti para petugas barisan hadapan yang begitu dedikasi menjayakan program bagi menghadapi pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau memgajak seluruh masyarakat untuk terus mendoakan semua anggota yang terlibat bertugas secara langsung mahu pun tidak, akan terus terpelihara oleh Yang Maha Kuasa.
Jahid yang juga Adun Tamparuli, berterima kasih kepada Kelab Penyokong Datuk Jahid Jahim dan kumpulan prihatin yang berjaya menyelaras penyerahan sumbangan barangan keperluan itu kepada anggota barisan hadapan.
“Kepada pihak KPDJJ, jangan berhenti setakat ini, teruskan amalan mulia ini bagi membantu pihak lain yang memerlukan,” kata Jahid.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata pihaknya amat terharu dengan penghargaan yang diberikan kepada anggota barisan hadapan khususnya anggota polis.
“Terima kasih tidak terhingga atas inisiatif yang telah diambil oleh pihak KPDJJ dan beberapa kumpulan lain yang terlibat memberi sumbangan bagi membantu frontliners bagi memerangi Pandemik COVID-19.
Antara barangan yang disumbangkan adalah, 500 kotak air mineral, 50 kotak besar pelitup muka, dan 100 kotak minuman Isotonik jenama Tritonic.
Program diadakan dengan kerjasama Majlis Guru Besar Daerah Tuaran (MGB), Kelab Staf PPD Tuaran, Kelab Staff SK Pekan Tamparuli, Kelab Staf SK Tinambak Tamparuli, Kelab Staf SK Sungai Damit, PIBG SK Pekan Tamparuli, Masjid Ubbudiyah Pekan Tamparuli, Masjid Nur Iman Kg Jembulang Tuaran, KK Jutamas Sdn Bhd, Nihamnazh Enterprise, Cemerlang Pertama Sdn Bhd dan GB Global Enterprise.