Gambar: SIMBOLIK… Izwandi (tiga dari kanan) menyerahkan secara simbolik Kit Makanan Berbungkus untuk sukarelawan PPV KML. Kelihatan sama Mohd. Dzulfaizal (lima dari kiri) sambil disaksikan oleh ahli-ahli sukarelawan PRIVO KML.
LABUAN: Petugas Sukarelawan Wilayah Prihatin (PRIVO) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan, PPV UMSKAL dan PPV Taman Mutiara yang diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan terus menerima sumbangan makanan tengah hari berbungkus daripada pelbagai pihak.
Terbaharu, Jabatan Penyiaran Labuan melalui Program Sinergi LABUANfm “Prihatin Privo Labuan” telah menyumbangkan 150 kit makanan tengah hari kepada sukarelawan PRIVO yang bertugas di tiga PPV masing-masing di Kolej Matrikulasi Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Taman Mutiara Sungai Bedaun.
Majlis penyerahan secara simbolik sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Unit Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) Izwandi Jaludin kepada Pengerusi MPP Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan bagi pihak PPV Kolej Matrikulasi Labuan yang diadakan di kaunter Sukarelawan PRIVO Pusat Pemberian Vaksin KML, pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, Program Sinergi LABUANfm “Prihatin PRIVO Labuan” merupakan aktiviti Tanggungjawab Sosial (CSR) penyampai radio dan kakitangan LABUANfm yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan iaitu dengan memberikan kit makanan bermasak kepada petugas sukarelawan PRIVO.
“Program kali ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberi fokus kepada petugas sukarelawan yang turut sama membantu melancarkan proses pemberian vaksin di pusat pemberian vaksin terpilih bagi mencapai sasaran komuniti kelompok akibat penularan Pandemik COVID 19 yang telah melanda negara” katanya dalam satu kenyataan selepas penyerahan kit makanan tersebut.
Beliau berkata, antara objektif pelaksanaan program adalah untuk menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan membantu golongan yang terjejas dan menyokong usaha sukarelawan PRIVO yang sedia berkhidmat membantu kelancaran pemberian vaksin di pusat pemberian vaksin di Labuan.
Selain itu katanya, program ini juga dapat memupuk keprihatinan dalam masyarakat menerusi gandingan kerjasama antara jabatan, agensi kerajaan, pihak korporat/swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“LABUANfm bukan sahaja berperanan menyebarluaskan inisiatif dan mesej kerajaan menerusi siaran radio dan media sosial tetapi juga turut menyantuni mereka yang memerlukan” katanya.
Turut menerima kit makanan yang sama ialah Timbalan Pengerusi MPP Zon Labuan, Haji Hadnan Muhamad mewakili petugas sukarelawan PRIVO PPV UMSKAL dan Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh mewakili Sukarelawan PRIVO PPV Taman Mutiara.
Sementara itu, Mohd Dzulfaizal mengucapkan terima kasih kepada LABUANfm atas sumbangan kit makanan tengah hari untuk sukarelawan PRIVO yang bertugas di tiga lokasi PPV KML, UMSKAL dan Taman Mutiara.
“Terima kasih atas sumbangan yang diberikan semoga kita akan menang bersama dalam memerangi COVID 19” katanya.