GAMBAR – PASUKAN….Sukarelawan Privo PPV Kolej Matrikulasi Labuan bersama Mohd Dzulfaizal (tengah)
LABUAN: Pasukan Sukarelawan Prihatin Wilayah (Privo) yang diselaras oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengerusi MPP Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan berkata, walaupun Labuan kini telah mencapai 80 peratus kadar pemberian vaksin, namun sukarelawan Privo akan terus memainkan peranan dengan mengerakkan pasukan itu ke kampung kampung melalui pelaksanaan vaksinasi dari rumah kerumah.
“Kami akan menggerakkan pasukan sukarelawan Privo ke kampung-kampung melalui pelaksanaan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti penduduk yang belum divaksin dalam usaha mencapai sasaran bagi memastikan tiada seorang pun individu dewasa yang terpinggir untuk menerima vaksin” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis suntikan vaksin ke 54,800 di pusat pemberian vaksin pandu lalu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada Selasa.
Mohd Dzulfaizal berkata masih terdapat sebilangan kecil penduduk yang enggan mendapatkan vaksin atas alasan yang tidak diketahui.
Beliau yakin melalui perancangan gerak kerja dari rumah ke rumah itu akan dapat memberi kefahaman kepada mereka mengenai kepentingan mendapatkan vaksinasi bagi mengelak jangkitan COVID-19.
Sebelum ini pasukan Sukarelawan Privo terlibat secara langsung dalam kordinasi pelaksanaan vaksinasi secara jumpa terus (walk in) dan pandu lalu yang melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan (KML), PPV Dewan JKR dan PPV Pandu Lalu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).