ADVERTISEMENTspot_img

Mayat Bayi Ditemui di Kampung Goliga Kolopis

Mayat bayi (kiri)

PENAMPANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di kawasan Kampung Goliga Kolopis di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat itu ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan serta menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.

Sammy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab serta menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN