ADVERTISEMENTspot_img

Formula bapa dan anak kunci kejayaan Ronnell

Ronnell, atlet dalam pembikinan mengejar impian gemilang.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU:  Keazaman tinggi, disiplin ketat dan sentuhan ajaib  bapa,  formula terbaik buat atlet muda yang sedang meningkat naik, Ronnell Rodriquel Roger Florie.

Hasil formula itu diperagakannya untuk mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga MaJlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS) 2026 di Kompleks Sukan Ranau, 21 Julai lalu.

Tubuh bersaiz sederhana dengan berat 65kg dan ketinggian 170cm, Ronnell yang membawa cabaran pasukan Kota Kinabalu melakukan lemparan 55.66m dalam acara lempar cakera  bawah 15 Tahun lelaki.

Di tempat kedua ialah Rhiseril Puup Jupana dari Kota Marudu dengan catatan 51.02m dan ketiga Deefoe Leoford Cerrie (Tuaran: 50.46m).

Catatan Ronnell itu  bukan sahaja memberikan emas buat pasukannya tetapi juga merupakan rekod baru kejohanan memadamkan rekod lama 55.25m milik Mohamad Syahzwan William dari Beaufort  pada tahun 2025.

Jarak yang di catat Ronnell itu adalah  peningkatan ketara berterusan  berbanding hanya 39.57m yang dilakukannya pada kejohanan MSSD Kota Kinabalu tahun lalu sebelum membaikinya dengan 47.78m tahun ini.

Catatan tahun lalu ketika dia di tingkatan satu itu sekadar meletakkannya di kedudukan ketiga tetapi ia hanya menyemarakkan semangatnya untuk bangkit dengan lebih gagah.

 Jarak 47.78m meletakkannya di kedudukan kedua MSSS Kota Kinabalu untuk layak ke MSSS buat julung kalinya tahun ini sekaligus mencuri tumpuan dengan lemparan rekod baru kejohanan.

Tentunya ia bukan perjalanan mudah, terima kasih kepada formula ramuan anak dan bapa kerana dengan pencapaian terkini, Ronnell yang baru di tingkatan dua dilihat mempunyai masa depan cerah dalam acara ini.

Ronnell berkata, bapanya, Roger Frederick adalah watak utama di belakang tabir pencapaiannya itu.

Roger bukan nama baru dalam arena balapan dan padang di mana dia ialah  bekas atlet lempar peluru dan lempar cakera pada tahun 1980-an.

Beliau pernah aktif mewakili sekolah dalam kejohanan Antara Sekolah dan Antara Daerah suatu ketika dahulu dan segala pengalamannya itu kini sedang dicurahkan kepada anaknya.

Dua beranak itu memulakan langkah serius awal tahun 2025 dengan memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu latihan intensif, program angkat berat dan memperkemaskan teknik lemparan.

Bagi memastikan latihan tidak terganggu, bapanya membina gelanggang  khas di kampung halaman mereka di kampung Kaiduan, Papar. 

Kini menetap di kampung Sugud, Penampang,   mereka sanggup pulang setiap hujung minggu ke kampung halaman untuk menjalani sesi latihan khas.

Formula mereka itu akan diteruskan untuk mengejar impian gemilang dengan sasaran berikutnya Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 di Pahang pada September.

Rekod lempar cakera Bawah 15 Tahun lelaki MSSM ialah 62.81m juga milik Mohd Syahzwan yang dicatatnya tahun lalu.

Persaingan di peringkat kebangsaan lebih sengit tetapi Ronnell  masih miliki masa sehingga  tahun depan memburu impian emas kerana masih layak bertanding dalam kategori bawah 15 Tahun pada 2027.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN